Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun menyeru umat Islam untuk menyatakan bantahan dan ketidaksetujuan terhadap apa-apa acara yang melibatkan maksiat serta hiburan melampau.

Ustazah Asma’ mengulas dalam satu hantaran di Facebook tentang sambutan pesta Halloween yang dibuat besar-besaran di negara Arab Saudi baru-baru ini.

“Sungguh mengecewakan dan menyedihkan. Usaha untuk bawa pengaruh dan budaya barat semakin menjadi-jadi di Arab Saudi yang merupakan negara penjaga dua kota suci umat Islam.

“Ini bukan kali pertama, bahkan pada tahun 2018, pesta sebegini juga sudah diadakan, tetapi Arab Saudi melarang dan menangkap warganya yang terlibat,” katanya.

Tambahnya, sambutan itu semakin diterima secara terbuka bahkan dirayakan secara besar-besaran serta disokong oleh pihak kerajaan.

“Tuan Puan, sebagai sebuah negara Islam yang terdapat kalimah ‘La Ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah’ pada bendera negara, apa yang berlaku ini suatu yang amat mendukacitakan.

“Sedar atau tidak, perlahan-perlahan, budaya liberal yang selama ini menjadi amalan masyarakat barat seolah sudah meresap masuk ke dalam jiwa orang-orang Islam,” ujarnya.

Ustazah Asma’ berkata, besar harapannya supaya segala program maksiat dan hiburan melampau yang diadakan di mana-mana jua negara dibanteras dan dihentikan. Dia tidak mahu perkara ini menjadi sebuah normalisasi kepada masyarakat Islam.

Terdahulu, sambutan Halloween yang satu ketika dahulu diharamkan kini sudah dirayakan di Arab Saudi.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sambutan Halloween adalah haram di sisi Islam berdasarkan kajian sejarah. Hal ini didapati bahawa perayaan ini merupakan syiar bagi sebahagian penganut agama Kristian dan mereka menyambutnya demi memperingati roh-roh yang telah meninggal dunia.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply