PASIR MAS – Aktiviti penyeludupan 12 ekor lembu telah digagalkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Sabtu.
Lembu-lembu tersebut yang dibawa masuk secara haram ke negara ini menggunakan perahu dengan menyelusuri Sungai Golok.
Rampasan lembu itu dilakukan sepasukan anggota Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang melakukan penugasan Op Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini pada jam 11 malam.
Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, nilai rampasan keseluruhan lembu-lembu seludup itu dianggarkan berjumlah RM67,200.
Serbuan telah dilakukan di kawasan semak berhampiran Sungai Tok Rusa, Meranti di sini.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Batalion 9 membuat intipan di kawasan serbuan dan melihat pergerakan perahu membawa lembu diseludup dari negara jiran ke Malaysia melalui bawah jambatan Jalan Kasban Sungai Tok Rusa yang bersambung dengan Sungai Golok,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, sebaik sahaja perahu itu berhenti kelihatan beberapa orang lelaki menarik lembu keluar dari dalam perahu ke atas darat.
Beliau berkata, sejurus menyedari kehadiran pengadu bersama anggota, beberapa lelaki terbabit bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan perahu bagi mengelakkan daripada dicekup.
Azhari berkata, pemeriksaan menemui 12 ekor lembu di lokasi serbuan.
Katanya lagi, mereka tidak menolak kemungkinan lembu-lembu ini dibawa masuk untuk memenuhi permintaan sepanjang bulan Ramadan.
Menurutnya, kes disiasat bawah 11(1) Akta Pekhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011.
Sumber: Sinar Harian