Pindah Orang Asli Terkesan Ancaman Harimau. Ini Jawapan Timbalan MB Kelantan |  Tiada keperluan setakat ini untuk memindahkan Orang Asli di Gua Musang yang terkesan dengan ancaman harimau belang sejak Disember lepas, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Pindah Orang Asli Terkesan Ancaman Harimau. Ini Jawapan Timbalan MB Kelantan

Beliau berkata kerajaan negeri yakin perkara itu dapat diselesaikan menerusi pelbagai usaha dan inisiatif yang dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan.

Menurutnya, isu harimau ini di bawah Perhilitan, mereka sedang berusaha menyelesaikannya dan setakat ini tidak menerima maklumat harimau masuk ke dalam perkampungan Orang Asli.

Jelasnya lagi, jika ingin memindahkan mereka (Orang Asli), mengikut pengalaman sebelum ini kebanyakannya tidak mahu pindah ke tempat lain kerana mahu kekal di kampung mereka sahaja. Oleh itu, beliau memberitahu pihak kerajaan menasihatkan supaya mereka tidak keluar rumah sekiranya tiada keperluan.

Media sebelum ini melaporkan kemeriahan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Sau, Pos Bihai di sini, bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut dibaham harimau belang pada 7 Jan lepas.

Jumaat lepas, penduduk di Pos Ber pula berdepan kebimbangan sama apabila harimau belang dilihat berkeliaran di kawasan itu.

Sementara itu, ketika ditanya dakwaan segelintir pihak bahawa haiwan liar tersebut berkeliaran di penempatan Orang Asli disebabkan pembalakan haram, Mohd Amar berkata pihaknya mengakui berlaku pembalakan haram di Hutan Simpan Kekal (HSK).

Katanya, masalah pembalakan berlaku di seluruh Malaysia yang dilakukan orang yang tidak bertanggungjawab, cuma di Kelantan isunya tidak serius.

Tambahnya, pembalakan haram itu memang ada, orang kampung buat kebun tanam durian, tanam kelapa sawit dan mungkin tebang hutan simpan, malah setakat kelmarin kita mendapat maklumat bahawa dua ekor harimau yang masih berkeliaran itu belum dapat dikesan namun tidak memasuki kampung.

Sumber: Astro Awani

Share.

Leave A Reply