Polis Lepaskan Tembakan, Penyeludup Mercun Nekad Lari

| May 5, 2021 | 0 Comments

Polis Lepaskan Tembakan, Penyeludup Mercun Nekad Lari | Menjelang musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi, semestinya ramai yang teruja untuk menyambut lebaran itu. Bukan itu sahaja, rasanya seperti tidak meriah sekiranya tidak mendengar bunyi mercun mahupun melihat kanak-kanak bermain bunga api.

Namun, sebaliknya yang berlaku apabila anggota polis terpaksa melepaskan tembakan kepada seorang penyeludup mercun yang cuba melarikan diri.

Polis Lepaskan Tembakan, Penyeludup Mercun Nekad Lari

Kota Bharu: Kejadian itu berlaku ketika sebuah kereta yang dipercayai milik penyeludup mercun selepas pemandunya cuba melepaskan diri sebelum cuba untuk merempuh anggota polis dalam satu kejadian di Kampung Peringat, di sini, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata kejadian berlaku ketika sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kereta jenis Honda Accord di pekan Pasir Mas dalam keadaan yang mencurigakan kira-kira pada jam 7.05 pagi.

Menurut beliau, apabila kenderaan tersebut menyedari kehadiran polis, pemandu kereta tersebut terus memecut laju melarikan diri ke arah Lemal. Dalam pada itu, pada masa yang sama juga sebuah kereta peronda polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Mas tiba di Bulatan Lemal sekaligus turut sama mengejar kereta suspek melalui Jambatan Salor menuju ke Kota Bharu.

“Kereta suspek kemudian bergerak ke arah Jalan Aur Duri, Ketereh hingga ke kawasan kampung di Peringat dan kereta suspek tersekat di jalan mati,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ketika itu, anggota peronda berhenti di belakang kereta suspek dan terus keluar menghala ke arah sisi kenderaan kereta dan mengarahkan suspek keluar.

Bagaimanapun, katanya, suspek yang enggan keluar cuba merempuh anggota menyebabkan anggota peronda berkenaan terpaksa melepaskan tembakan ke arah kenderaan suspek supaya memberhentikan kenderaan.

Pada ketika itu, suspek dikatakan bertindak agresif dengan memusingkan kenderaan dan berjaya lolos. Anggota peronda kemudiannya cuba menjejaki semula suspek tetapi gagal sehingga sampai ke kawasan Seterpa.

“Ada penduduk kampung menunjukkan arah kereta suspek masuk menghala ke kawasan Perkuburan Kuin, Peringat.

“Setibanya anggota polis di lokasi itu, kereta milik suspek ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan pintu masih terbuka dan suspek disyaki melarikan diri,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu mendapati bahagian tempat duduk penumpang belakang dan juga but dipenuhi kotak yang mempunyai pelbagai jenis mercun. Semakan ke atas kereta itu mendapati tiada sebarang rekod kehilangan dan usaha mengesan serta menahan suspek giat dijalankan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Sumber: Berita Harian 

Tags: , , , ,

Category: INFORMASI, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *