Polis Serbu Restoran Mewah, 40 Lelaki Dipercayai Ahli Kongsi Gelap Ditahan | Sekumpulan lelaki dipercayai ahli kongsi gelap yang berselindung di atas nama sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) telah mengadakan majlis pengenalan dan pendaftaran ahli baru yang diadakan di sebuah restoran mewah diserbu pihak polis.
Bertindak atas maklumat awam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Seberang Perai Tengah telah menyerbu sebuah restoran mewah yang terletak di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada jam 9.30 malam semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, serbuan yang dijalankan pada 27 November 2021 itu dibuat kerana pihak Polis mengesyaki satu kumpulan kongsi gelap telah cuba mengaburi pihak berkuasa dengan berselindung disebalik sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi menghidupkan kembali pengaruh mereka di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Hasil serbuan yang dijalankan oleh pihak polis juga turut membawa kepada penahanan seramai 40 orang lelaki yang berusia lingkungan 22 hingga 56 tahun dan berasal dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
“Pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak polis juga mendapati 8 daripada lelaki yang ditahan mempunyai “tatoo” bagi sebuah pertubuhan haram dan pihak polis juga turut merampas 56 buah telefon bimbit, 2 bentuk cincin, seutas rantai serta sepasang subang yang mempunyai lambang sebuah pertubuhan haram,”.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang untuk tindakan lanjut dan Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 ( Kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi Undang-Undang ) yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak lebih daripada 3 tahun atau denda tidak lebih daripada RM 5000 atau kedua-duanya. Kesemua yang ditangkap kini ditahan reman untuk siasatan.
“PDRM mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat dan bekerjasama baik dalam bersama-sama membenteras jenayah,”.
Sumber : Inforoadblock