Polis Vietnam Temui Lebih 1,000 Janin Manusia Dalam Peti Sejuk | Polis Vietnam menemukan lebih 1,000 janin manusia di dalam peti sejuk di sebuah pangsapuri di Ha Dong, Hanoi, Vietnam selepas menerima maklumat berhubung sekumpulan individu membawa beg hitam di kawasan itu.
Memetik laporan akhbar Kinh te & Do Thi polis telah mengawasi kumpulan itu sehingga tiba di apartment terbabit.
Pihak polis kemudian menyerbu pangsapuri itu dan menemui dua peti sejuk besar yang dipenuhi dengan beg palstik hitam. Pemeriksaan lanjut terhadap beg plastik hitam itu mendapati terdapat janin manusia di dalamnya dan empat orang ditahan untuk disoal siasat.
Peti penyejuk beku dan kesemua janin kemudiannya ditempatkan di rumah pengebumian daerah sementara menunggu siasatan.
Siasatan awal polis menunjukkan keempat-empat suspek sering mengumpul janin hasil pengguguran daripada klinik dan tempat pembuangan sampah di bandar dan mengatur pengebumian yang sesuai.
Mereka melakukan pengebumian itu di Thanh Oai dan Soc Son di Hanoi dan di Wilayah Nam Dinh.
Bagaimanapun, disebabkan jarak tempat pengebumian yang sangat jauh di antara kawasan berkenaan, kumpulan itu bertindak menyimpan janin itu di dalam peti sejuk terlebih dahulu.
Walaupun polis menyatakan kes ini tidak berunsur jenayah, tetapi pihak berkuasa tempatan berkata, ia menyebabkan masalah alam sekitar mengenai cara janin ditangani dan disimpan.
Menurut laporan rasmi kesihatan, Vietnam merupakan negara yang paling banyak mencatatkan kadar pengangguran di dunia.
Jabatan Ibu dan Kanak-kanak di bawah Kementerian Kesihatan merekodkan 14 kes pengguguran janin dalam 100 kelahiran pada 2018 dan antara sebab penggangguran dilakukan ialah kerana pemilihan jantina bayi selain kekurangan pendidikan seksual.
Malah, hubungan seksual tanpa nikah masih dianggap tabu menyebabkan gadis muda berdepan kecaman masyarakat sekiranya didapati hamil tanpa ikatan perkahwinan yang sah.
Sumber: Metro