Rakyat China ‘Serang’ Bilionaire Terkenal AS. Ini Sebabnya. | BEIJING: Pengguna laman web China hari ini bertindak menyelar Elon Musk selepas Beijing mendakwa stesen angkasanya terpaksa mengelak dua satelit SpaceX kepunyaan jutawan teknologi itu.

Situasi itu ternyata memberi tamparan hebat buat reputasi taikun itu, di negara yang menggunapakai kereta elektrik Tesla keluaran syarikat Musk.

Stesen angkasa Tiangong milik China terpaksa mengambil tindakan ‘preventif’ untuk mengelak berlaku pelanggaran semasa berdepan dengan dua objek, iaitu satelit Starlink SpaceX.

Mengikut dokumen yang dihantar oleh Beijing kepada agensi angkasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan ini, Insiden berlaku pada Julai dan Oktober.

“Strategi olah gerak tidak diketahui dan ralat orbit sukar nilai,” dakwa Beijing susulan satelit yang terbabit dengan insiden berkenaan pada Oktober.

Selain itu, Beijing mendakwa pihaknya terpaksa mengambil tindakan susulan untuk memastikan keselamatan dan nyawa angkasawan dalam orbit.

Tiangong yang bermaksud Istana Kayangan adalah pencapaian terbaru China ke arah bergelar kuasa angkasa utama, selepas negara itu berjaya mendaratkan sebuah perayau di Marikh dan kapal angkasa ke Bulan.

Modul terasnya berjaya memasuki ruang orbit pada awal tahun ini dan stesennya pula dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun depan.

Pengguna media sosial China ‘menyerang’ Musk dan syarikatnya susulan insiden berkenaan dengan memuatnaik tanda pagar sehingga meraih 87 juta tontonan pagi tadi.

Antara ‘serangan’ media sosial yang dibuat pengguna media sosial China adalah ‘Alangkah ironinya orang China membeli Tesla yang menyumbang banyak wang supaya Musk boleh melancarkan Starlink dan kemudian dia hampir merempuh stesen angkasa China’ dan ‘Bersedia untuk memboikot Tesla’. – AFP

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply