Rampasan Kuasa Di Sudan, Ini Keadaan Terkini Rakyat Malaysia Disana | Putrajaya – Kementerian Luar mengesahkan setakat ini kesemua 42 rakyat Malaysia yang berada di Sudan dalam keadaan selamat susulan rampasan kuasa tentera di negara tersebut.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya turut memantau rapat perkembangan politik terkini di Sudan ekoran insiden yang tidak dijangka itu.

“Menurut Kedutaan Besar Malaysia di ibu kota Khartoum, semua warga Malaysia termasuk 27 pelajar yang berdaftar dengan pihak kedutaan turut dilaporkan masih lagi selamat,” katanya hari ini.

Media antarabangsa melaporkan tentera Sudan awal pagi ini berjaya melancarkan rampasan ekoran kebangkitan rakyat negara tersebut yang sebelum itu gagal pada 21 September lalu.

Perdana Menteri, Abdallah Hamdok selain Menteri Penerangan, Hamza Baloul dan Gabenor Khartoum, Ayman Khalid serta beberapa pegawai kanan kerajaan telah ditahan pihak tentera.

Negara Islam di timur benua Afrika itu bergolak setelah kejatuhan Presiden Omar al-Bashir yang memerintah hasil rampasan kuasa pada 1989 sebelum digulingkan tentera pada 2019.

Mengulas lanjut, Wisma Putra menambah, Malaysia akan terus berusaha melindungi semua kepentingan negara termasuk Kompleks Petronas Sudan di Blok 7, Nile Avenue, Khartoum.

Premis berkenaan turut menempatkan Kedutaan Besar Malaysia dan juga pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu serta beberapa pejabat badan-badan antarabangsa yang lain.

“Wisma Putra telah memanggil Kuasa Usaha Kedutaan Sudan d Kuala Lumpur, Bakhit Ismail bagi menzahirkan kebimbangan mengenai keselamatan rakyat negara ini di sana,” katanya.

Justeru, kementerian itu menasihatkan warga Malaysia di Sudan yang memerlukan bantuan konsular untuk menghubungi kedutaan menerusi beberapa saluran komunikasi disediakan.

Mereka boleh menghubungi Rumah Malaysia yang terletak di House 17, Blok B21, Street Khalifa Abdullah, Daerah Al Riyadh, Khartoum atau e-mel kepada [email protected]

Kedutaan Besar Malaysia juga boleh dihubungi menerusi telefon +249 99 070 0350 atau melalui wadah media sosial Facebook @Malawakil.Khartoum atau Twitter @ MYEmbKhartoum.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply