Remaja Perempuan Ada Masalah Psikiatrik Cuba Terjun Bangunan | Masalah psikiatrik dalam kalangan remaja sangatlah berbahaya kerana masalah seperti ini boleh mendorong seseorang untuk melakukan perkara yang tidak dapat dijangkau.
Malang tidak berbau bagi seorang remaja perempuan yang dipercayai mempunyai masalah psikiatrik dan cuba untuk terjun dari tingkat atas Regina Mall Port Dickson petang semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihak polis telah menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pada jam 7.15 petang.
Dalam pada itu, Aidi Sham berkata, sejurus pihaknya menerima panggilan tersebut, pihak polis telah menyalurkan maklumat kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Port Dickson untuk membuat tindakan lanjut bagi menyelamatkan remaja berkenaan.
“Mangsa yang berusia 16 tahun telah berdiri di bucu tembok tingkat atas parkir terbuka Regina Mall dan telah beberapa kali bertindak agresif cuba terjun, namun berjaya dipujuk dan ditangkap oleh pasukan penyelamat bomba yang berada di tempat kejadian.
“Mangsa seterusnya dibawa oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau menjelaskan, dalam cubaan terjun itu mangsa dikatakan tidak mengalami sebarang kecederaan. Mangsa juga dikatakan masih ditahan di wad HPD kerana mangsa masih bertindak agresif dan petugas hospital terpaksa menggunakan ubat penenang untuk menenangkan keadaan mangsa.
“Sebelum ini, mangsa pernah mendapatkan rawatan mental atau psikiatrik di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban sebanyak dua kali pada tahun 2020, mangsa juga pernah mengalami masalah kemurungan dan sentiasa bersendirian di rumah,” katanya.
Jelas Aidi Sham, ibu mangsa memberitahu sebelum kejadian mangsa itu dikatakan telah meminta untuk menghantarnya ke sebuah pasar raya di Port Dickson dengan tujuan untuk bertemu dengan rakan sekolah.
“Pada pukul 6.30 petang hari kejadian, ibu mangsa telah menghantar mangsa ke pasar raya tersebut dan meninggalkan mangsa di sana,” katanya.
Sumber: Kosmo