‘Anak, Cucu Terpaksa Tidur Di Lantai Dapur Beralaskan Kain Batik’ | Ketika umat Islam sedang sibuk membuat persiapan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, seorang warga emas bersama 15 ahli keluarga tidak mampu untuk berbuat demikian, mereka tabah menjalani kehidupan dan ibadah puasa serba sederhana di dalam sebuah rumah kecil yang serba daif sejak 11 tahun lepas.
Hasmah Saad, 65, tatkala ini hidup berhimpit di rumah itu bersama empat anaknya, Nur Hayati Hashim, 33, Nur Hazwani Hashim, 29, Nur Hasraf Haizad, 18, Nur Natasya Haslinda, 17, serta menantu dan anak masing-masing, termasuk mempunyai lapan cucu yang berusia lingkungan dua hingga 13 tahun.
Hasmah Saad berkata, rumah yang diduduki kini adalah pemberian Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada 2 Ogos 2010 yang bekeluasan 800 meter persegi sahaja. Katanya, rumah berkenaan mempunyai tiga buah bilik iaitu dua bilik kelamin untuk anak dan menantunya yang masing-masing mempunyai dua dan enam orang anak. Manakala bagi sebuah bilik lagi, diduduki oleh Hasmah bersama cucunya.
Akibat kekangan ruang untuk tidur, mereka yang lainnya terpaksa berhimpit dan tidur di ruang tamu.
“Memandangkan anak-anak hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu, selain masing-masing mempunyai tanggungan yang ramai, mereka tidak mampu menyewa di luar apalagi mahu mempunyai kediaman sendiri,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program i-Care4U Ziarah Kasih Ramadan di kediamannya di Kampung Jarak Bintong di sini pada Isnin.
Program anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Perlis (ICU JPM) dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menyalurkan sumbangan duit raya kepada 30 keluarga terpilih.
Turut hadir pada program ziarah itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang menyampaikan sumbangan keperluan asas dan duit raya bagi pihak kerajaan negeri.
Sementara itu, Hasmah Saad berkata, ada anak dan cucunya yang terpaksa tidur di lantai dapur hanya dengan beralaskan kain batik sahaja kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain malah, cucu bongsunya pernah melecur terkena air panas ketika bermain di ruang sempit dan ada kalanya berlanggar dengan isi rumah lain.
Dalam pada itu, Nur Hazwani berkata, dia mengimpikan untuk menyambut Aidilfitri di kediaman sendiri bersama enam orang anaknya, namun perkara itu agak mustahil kerana pendapatan suaminya yang hanya mengambil upah memotong rumput di kampung.
Suri rumah itu berkata menjadi rutin setiap tahun mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri dengan pakaian yang disedekahkan orang ramai tanpa kuih-muih yang beraneka namun bersyukur dapat tinggal dengan keluarga dan menjalani kehidupan susah dan senang bersama.
Prihatin dengan nasib keluarga itu, Azlan berkata, kerajaan negeri akan sedaya upaya membantu membina sebuah rumah dengan dua buah bilik di kawasan belakang rumah sedia ada. Dalam perkembangan lain, Azlan berkata, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam di Perlis telah diluluskan dan akan disalurkan dalam masa yang terdekat.
Sumber: Sinar Harian