Budak Tiga Tahun Lemas Tergelincir Dalam Longkang | Sejak kebelakangan ini, kejadian lemas seringkali tular di media sosial yang melibatkan nyawa seorang kanak-kanak mahupun orang dewasa. Begitu juga nasib yang menimpa kanak-kanak perempuan ini yang dikatakan lemas akibat tergelincir ke dalam longkang.

Budak Tiga Tahun Lemas Tergelincir Dalam Longkang

Kejadian yang berlaku di FELDA Gunong Bongsu itu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemui lemas selepas tergelincir ke dalam longkang berhampiran rumahnya sebelum dihanyutkan ke dalam Sungai Dingin dekat Kulim, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata, dalam kejadian kira-kira pada jam 7 malam itu mangsa, Naera Dellisha Muhammad Nazri sedang bermain bersama beberapa kanak-kanak lain sebelum dikatakan terjatuh ke dalam longkang berkenaan.

Dalam pada itu, abang mangsa, Muhammad Thaqif yang berusia lapan tahun pulang ke rumah dan memaklumkan mengenai kejadian berkenaan kepada bapanya, Muhammad Nazri Abu Saman, 36, mengenai adiknya yang terjatuh ke dalam longkang ketika bermain semasa hujan lebat.

“Bapa mangsa serta beberapa ahli keluarga lain bergegas keluar mencari mangsa. Mangsa yang jatuh ke dalam longkang dibawa arus deras ke longkang besar sebelum dihanyutkan ke dalam Sungai Dingin,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Azhar berkata, mayat kanak-kanak perempuan tersebut telah dijumpai orang awam pada jam 8 malam. Mayat mangsa ditemui kira-kira tiga kilometer dari tempat mangsa dilaporkan tergelincir sebelum dibawa ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 7.24 malam sebelum tiba jam 7.57 malam.

“Operasi disertai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech dengan sebuah jentera serta sebuah kenderaan utiliti. Anggota melakukan pencarian di permukaan air sungai dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply