Persembahan artis-artis terkenal Kpop bersempena sambutan Halloween di Korea Selatan terpaksa dibatalkan ekoran tragedi kematian beramai-ramai di Itaeowon pada Ahad.
Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan (Korea Selatan) berkata, pembatalan konsert Busan One Asia Festival K-pop itu dibuat hanya beberapa jam sebelum ia bermula.
Jelasnya, pihak mereka membuat keputusan untuk membatalkan konsert yang dijadualkan pada 1 hingga 4 November.
Namun, sambungnya dalam satu kenyataan, keputusan rasminya iaitu sama ada untuk mengadakannya semula atau dibatalkan sepenuhnya akan diumumkan pada 7 dan 11 November ini.
Menerusi laporan Korea JoongAng Daily, kira-kira 40,000 orang pengunjung dijangka hadir menggegarkan stadium berkenaan yang menampilkan persembahan 10 bintang Kpop terkenal.
Bagaimanapun ia terpaksa dibatalkan, malah jawatankuasa penganjur turut mengeluarkan notis untuk pembayaran balik (kos kerugian) bermula 2 hingga 11 November.
Bukan itu sahaja, bahkan pesta bunga api yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 5 Novemver juga mengalami nasib sama (dibatalkan) bagi menghormati mangsa-mangsa terkorban.
Taman hiburan terkenal, Everland dan Lotte World juga dilapor turut membatalkan sambutan Halloween ekoran rasa berduka cita atas tragedi tersebut.
Tidak kurang juga daripada pihak media dan syarikat produk, mereka juga turut membatalkan sebarang promosi, malah tayangan drama di kaca tv turut dibatalkan.
Misalnya, pihak Starbuck Korea telah menghentikan penjualan makanan dan minuman serta barangan Halloween pada pagi hari ini.
Malah menurut Korea JoongAng Daily, semua hiasan atau barangan berkaitan Halloween di Starbuck Korea telah dikeluarkan dari semua cawangannya di seluruh negara.
Bukan itu sahaja, kedai-kedai seperti Lotte Department Store, Emart dan CU juga telah mengambil langkah yang sama iaitu menghentikan promosi, perarakan serta penjualan barangan atau produk yang bertemakan Halloween.
Rancangan hiburan seperti “Running Man” dari SBS dan “One Night, Two Days” dari KBS turut dibatalkan, sebaliknya pihak media banyak menyiarkan berita mengenai insiden di Itaewon.
Selain itu, penyanyi Jang Yoon-jeong, Yeong Tak dan hong Jin-young juga segera membatalkan konsert mereka yang dijadualkan berlangsung pada Ahad.
Sehingga 9:30 pagi Ahad, seramai 151 kematian disahkan oleh Agensi Bomba Kebangsaan manakala 19 daripada 82 yang cedera dilaporkan masih dalam keadaan kritikal.
Difahamkan, daripada keseluruhan jumlah mangsa, 97 adalah wanita manakala 54 lelaki. Malah, kebanyakan mangsa dianggarkan masih berusia dalam lingkungan 20-an.
Daripada jumlah keseluruhan iaitu 151 orang, 19 daripadanya adalah warga asing termasuklah dari China, Uzbekistan dan Norway.
Sumber: Korea Joongang Daily