Rezeki Aidilfitri Buat Penjual Buluh Lemang. Dua rakan iaitu penjual buluh menerima tempahan sehingga 4,000 batabg buluh untuk membuat lemang sempena Aidilfitri ini. Baca selanjutnya.
PEDU – Dua rakan tidak menang tangan apabila menerima tempahan kira-kira 4,000 batang buluh untuk membuat lemang, sekali gus memanfaatkan peluang tersebut dengan mencarinya di sekitar tebing Tasik Pedu, dekat sini.
Mohd Rafiuddin Mohd Shukri, 23, dan rakannya, Mohd Azim Faiz, 27, menerima tempahan daripada peniaga lemang di sekitar Padang Terap, Pokok Sena dan Pendang dua minggu sebelum tibanya Aidilfitri.
Menurut Mohd Rafiuddin, mereka melakukan kerja sampingan tersebut sejak tiga tahun lalu dan menerima reaksi positif pelanggan yang mengakui berpuas hati dengan kualiti buluh yang dijual.
“Sebanyak 4,000 batang buluh disediakan iaitu 2,000 batang buluh pada penghujung Ramadan manakala selebihnya pada minggu pertama Syawal.
“Alhamdulillah sambutan sungguh menggalakkan kerana ramai peniaga yang memerlukan buluh lemang ini.
“Buluh lemang jenis telur antara yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembeli,” katanya ketika ditemui pemberita di Tasik Pedu baru-baru ini.
Tambah Mohd Rafiuddin, keuntungan yang diperolehi daripada kerja sampingan tersebut sedikit sebanyak dapat menampung pendapatan mereka yang bekerja di Rumah Bot Sri Mahawangsa di tasik tersebut pada bulan Ramadan.
“Pelancong agak berkurangan pada bulan puasa berbanding bulan lain dan kami perlu mencari pekerjaan sampingan bagi menampung perbelanjaan.
Sumber: Sinar Harian