Rider Food Panda Berdepan Detik Cemas Terperangkap Dalam Bank | Seorang penghantar makanan berdepan detik cemas selepas dia dilaporkan terperangkap kira-kira 15 minit di dalam sebuah bank menempatkan mesin pengeluaran automatik (ATM), di sini pada malam Isnin, baru-baru ini.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan kira-kira pada jam 12.41 tengah malam.
Jelasnya, sejurus mereka menerima panggilan kecemasan tersebut, empat pegawainya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang telah dikejarkan ke tempat kejadian.
Sejurus pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian, mereka dapati seorang remaja yang berusia lingkungan 18 tahun terperangkap di dalam sebuah bank yang menyediakan perkhidmatan ATM.
Norazam berkata, mangsa dilaporkan ketika itu sedang ingin mengeluarkan wang namun terperangkap berikutan pintu terkunci secara automatik.
Difahamkan bahawa pihak bomba telah menghubungi pegawai bank bagi memaklumkan perkara tersebut dan mangsa yang terperangkap dapat dikeluarkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dan kerosakan pada pintu bank.
Sumber: Sinar Harian