Rumah Banyak Kasut Dan Selipar Akan Diperiksa Polis Pada Aidilfitri | Pihak polis akan memeriksa rumah yang terdapat banyak kasut dan selipar pada Aidilfitri ini. Tindakan itu adalah untuk mengesan individu yang melanggar arahan rentas negeri pada Aidilfitri nanti yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya mengerah anggotanya melakukan rondaan sepanjang sambutan perayaan itu di seluruh negeri Kedah. Polis Kedah turut telah menerima arahan untuk melakukan rondaan dan menyemak rumah yang terdapat banyak kenderaan.
Belaiu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Baharu 4WD (1tan) GS-Cargo Guna Sama Operasi untuk Kontinjen Kedah di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Majlis penyerahan kenderaan itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Menurut Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar, pihak polis akan mengekalkan strategi yang sama sepertimana yang dilakukan pada Aidilfitri tahun lalu. Pemeriksaan mengejut ke rumah akan dilakukan untuk memeriksa surat kebenaran rentas negeri.
Hasanuddin turut mengulas dengan lebih lanjut bahawa pihaknya telah mengarahkan anggota Sekatan Jalan Raya (SJR) untuk membuat pemeriksaan yang lebih ketat. Ini bagi mengesan individu yang cuba untuk meloloskan diri untuk merentas negeri selain daripada penggunaan permit palsu.
Dia telah memberi arahan kepada anggotanya untuk melakukan pemeriksaan secara terperinci. Belia juga sudah sudah mengeluarkan arahan kepada semua anggota di SJR dan pasukan pemantauan supaya lebih tegas dalam melakukan pemeriksaan itu.
Dia turut merayu agar semua pihak tidak membawa sebarang dokumen palsu. Sekiranya terdapat individu yang berbuat sebegitu, denda yang tinggi akan dikenakan.
Sementara itu, Mazlan pula memberitahu, sebanyak 18,279 kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melebihi had usia dan uzur di seluruh negara akan diganti dengan kenderaan baharu secara berperingkat.
Menurutnya, jumlah kenderaan PDRM yang diganti itu adalah daripada keseluruhan 27,307 kenderaan.
Sumber: Utusan Malaysia