Rumah Dinaiki Air, Warga Emas Khuatir Rumah Dimasuki Buaya Sesat | Setelah hujan lebat turun  di beberapa kawasan di Selangor, seorang  warga emas yang menetap di Kampung Tanjong Siam di sini bimbang banjir yang melanda kediamannya mengundang kehadiran buaya Sungai Selangor.

Rumah Dinaiki Air, Warga Emas Khuatir Rumah Dimasuki Buaya Sesat

Mangsa dikenali sebagai Hasnah Jalil, 68, berkata, rumahnya itu hanya terletaknya kira-kira 10 meter dari Sungai Selangor yang terkenal dengan habitat buaya.

Jelasnya, dia berasa takut bahawa berkemungkinan apabila air banjir memasuki rumahnya,  ada buaya dari Sungai Selangor tersesat ikut sekali namun, kejadian begitu tidak pernah berlaku dan hanya zahirkan rasa bimbang.

Mengulas lanjut mengenai banjir itu, Hasnah berkata, kejadian kira-kira jam 6 pagi itu berlaku sebaik dia terjaga daripada tidur apabila limpahan air mula memenuhi tempat tidurnya pada pagi Selasa.

Menurutnya, kejadian air masuk ke dalam rumah disedari selepas kakinya tiba-tiba terasa sejuk ketika sedang nyenyak tidur di dalam rumah. Selepas itu, tiba-tiba badannya terasa menggigil kesejukan dan melihat air sudah melimpah ke keseluruhan rumah.

Dia sempat mengemas barangan penting dan mengalihkan peti ais dan mesin basuh di atas batu bata untuk mengelakkan kerosakan.

Menurut Hasnah, air memenuhi rumahnya dengan cepat kerana sebelum ini hanya bahagian dapur digenangi air pada Isnin.

Menurut seorang lagi penduduk, Zoyah Majid, 76, kejadian banjir melimpah ke dalam rumah disedari sebaik dia pulang dari rumah anaknya iatu kira-kira jam 6 pagi sehingga menyebabkan kediamannya dipenuhi air setinggi 0.2 meter.

Menurutnya, kejadian banjir kali ini disifatkan agak teruk berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, Seketariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, seramai 35 mangsa daripada 14 Keluarga ditempatkannya di SK Pasangan.

Katanya, PPS itu mula dibuka pada Selasa menempatkan seramai 14 lelaki dan 21 perempuan.

Sehingga kini, sebanyak tiga PPS dibuka iaitu di SK Rantau Panjang, SK Parit Mahang dan SK Pasangan.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kuala Selangor berjumlah 132 mangsa membabitkan seramai 46 keluarga setakat jam 6 petang.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply