Rundingan Diplomasi Ukraine-Rusia Gagal Redakan Ketegangan | Usaha rundingan diplomasi melalui panggilan telefon, semalam, gagal meredakan ketegangan berhubung isu Ukraine, dengan Amerika Syarikat (AS) terus menegaskan bahawa Russia bakal berdepan ‘akibat buruk yang teruk dan segera’ jika melancarkan serangan.
Bagaimanapun Presiden Russia, Vladimir Putin, membidas dakwaan negara Barat bahawa Moscow berkemungkinan akan melakukan tindakan itu, dengan menyifatkannya sebagai ‘spekulasi provokasi’ yang boleh membawa kepada konflik di negara bekas Soviet itu.
Perkara itu dinyatakan dalam satu kenyataan dibacakan Russia berhubung panggilan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Menurut Pejabat Macron, perbualan telefon antara dua pemimpin itu berlangsung selama satu jam 40 minit
Katanya lagi, kedua-dua belah pihak menunjukkan keinginan untuk meneruskan dialog.
Ketegangan yang menyaksikan Russia menempatkan lebih 100,000 tentera berhampiran sempadan Ukraine, semakin memuncak selepas Washington memberikan amaran bahawa serangan besar-besaran boleh berlaku pada bila-bila masa dan Russia mempergiatkan latihan ketenteraan di Laut Hitam.
Sementara itu penasihat dasar luar utama Kremlin, Yury Ushakov pula menyifatkan ‘histeria sudah mencapai kemuncaknya.’
Beliau dilaporkan berkata demikian dalam satu panggilan persidangan selepas perbualan telefon yang terbaru antara Putin dengan Presiden AS, Joe Biden.
Dalam menangani kemelut isu Ukraine, Biden menegaskan bahawa walaupun AS bersedia terbabit usaha diplomasi, Washington juga bersiap siaga untuk senario lain.
Kata Biden, sekiranya Russia menyerang Ukraine, maka AS bersama sekutu dan rakan akan bertindak balas dengan tegas yang memberikan akibat buruk yang teruk dan segera terhadap Russia.
Seorang pegawai kanan AS pula memberitahu wartawan, perbualan kira-kira sejam antara Biden dengan Putin itu adalah ‘profesional dan substantif’, namun ‘tiada perubahan asas’ yang dinamik.
Dalam perkembangan berkaitan, Russia membawa sebilangan kakitangan diplomatiknya keluar dari Ukraine, semalam.
Kementerian Luar di Moscow menjelaskan, keputusan itu didorong kebimbangan akan ‘kemungkinan provokasi daripada rejim Kyiv.’
Namun, Washington dan sejumlah negara Eropah bersama Israel mendakwa ancaman kemungkinan serangan oleh Russia semakin meningkat, sekali gus menggesa rakyat mereka untuk meninggalkan Ukraine secepat mungkin.
Britain dan AS turut membawa keluar sebahagian besar penasihat tentera mereka di sana.
Sumber: Al Jazeera