Rusia Akan Hentikan Pencerobohan Di Ukraine. Dengan Syarat… | Presiden Russia, Vladimir Putin, menetapkan syarat untuk mengakhiri pencerobohan Ukraine, ketika perbincangan kedua delegasi Russia dan Ukraine diadakan di Belarus hari ini.
Pada masa sama, pemimpin Russia itu terus mengarahkan tenteranya menggandakan serangan, termasuk ke atas sasaran utama, Kyiv manakala puluhan terkorban dalam serangan di berdarah di Kharkiv semalam.
Dengan tentera Moscow terus menyerang beberapa bandar Ukraine, negara Barat pula bersiap sedia mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Russia, menurut laporan agensi berita.
Difahamkan, Putin membentangkan syaratnya untuk mengakhiri perang itu semasa satu panggilan telefon dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Menurut Kremlin, Putin menekankan bahawa penyelesaian hanya dapat dicapai sekiranya kepentingan keselamatan Russia dapat diambil kira sepenuhnya.
Ini termasuk mengiktiraf kedaulatan Russia ke atas Crimea, menjadikan Ukraine bebas tentera dan bebas Nazi serta memastikan statusnya yang neutral.
Semasa dialog itu berlangsung, Russia terus menyerang Ukraine, dengan anggota, kenderaan dan jentera tentera mula berkumpul di pinggir bandar Kyiv serta Kharkiv, dikhuatiri sebagai persediaan melancarkan serangan besar-besaran.
Hari ini, yang juga hari ketujuh serangan Russia terhadap Ukraine, jurucakap Kementerian Pertahanan Russia, Igor Konashenkov, mendakwa tentera Russia sudah menguasai bandar Kherson di selatan.
“Secara keseluruhan, tentera Russia sudah merosakkan lebih 1,500 kemudahan tentera di Ukraine selain memusnahkan 58 pesawat, 46 dron dan 472 kereta kebal serta kereta perisai lain.
Sumber: Berita Harian