Sabah Jadi Tuan Rumah Untuk Sambutan Hari Malaysia Tahun Ini | Bagi Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, Sabah sekali lagi telah dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan itu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sambutan itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada malam 16 September ini. perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa induk dipengerusikan bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang dilaksanakan secara maya pada selasa.
Pihak kabinet negeri Sabah amat berterima kasih dan menghargai keputusan yang dibuat kerajaan pusat di atas kepercayaan yang diberikan kepada Sabah untuk mengetuai dan sekali lagi berikutan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara, sambutan akan diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Program itu akan dilangsungkan di tempat tertutup dengan penjarakan sosial, kehadiran terhad dianggarkan sekitar 500 orang. Bagaimanapun ia tetap bergantung kepada situasi semasa covid-19 di negeri itu.
Bung Moktar yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Penganjur Hari Malaysia di peringkat negeri berkata, beberapa siri mesyuarat jawatankuasa pelaksana di peringkat negeri bersama beberapa jabatan dan agensi berkaitan telah diadakan bagi memastikan perjalanan program berjalan lancar.
Menurut Bung Mokhtar, Pelbagai acara telah disusun termasuk majlis tahlil, persembahan koir, majlis memotong kek dan tayangan montaj.
Selaras dengan tema tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, satu persembahan khas daripada artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ turut dipersembahkan bagi mengajak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama menangani wabak Covid-19.
Sumber: Sinar Harian