‘Saya Berhenti Menjahit Kerana Sedih Teringatkan Mereka’ | Bagaimana seorang ibu boleh mengumpulkan kekuatan saat kehilangan anak yang dikasihinya? Meskipun sudah dua tahun berlalu, seorang ibu masih berasa sedih dengan kejadian tragis yang meragut nyawa dua anak kesayangannya terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.

'Saya Berhenti Menjahit Kerana Sedih Teringatkan Mereka'

Yan: Kejadian tragis yang melibatkan mangsa dua beradik iaitu Nurul Hanim Idris, 5, dan adiknya Mohammad Hafiz, 1, maut dengan bermandikan darah selepas dikelar jiran mereka semasa tidur di dalam rumah di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai di sini pada 8 Januari 2019.

Noorhasyelawati Yusoff, 39, berkata, dia masih terbayangkan keletah dua anak kecilnya itu ketika sibuk melakukan persiapan untuk berbuka puasa dan menyambut hari raya.

“Dua tahun lalu, pada waktu begini, sebagai tukang jahit sudah pastinya saya sibuk me­nyiapkan baju raya termasuk untuk arwah.

“Namun, sejak kejadian itu, saya berhenti menjahit kerana berasa sedih dan teringatkan mereka setiap kali mahu mulakan kerja (menjahit),” kata­nya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Menurut Noorhasyelawati, dia cuba untuk melupakan kejadian berdarah itu, namun sukar baginya kerana menyaksikan sendiri kejadian tragis dua anaknya kaku dan berlumuran darah di atas katil.

Disebabkan bimbang tak dapat melawan rasa rindu, saya menyerahkan hampir semua pakaian mereka kepada keluarga terdekat,” katanya.

Noorhasyelawati berkata, dia reda dengan kejadian tersebut namun, naluri seorang ibu yang membuatkannya sukar untuk melupakan kedua-dua anaknya dan gambar sebagai pengubat rindu.

Kini Noorhasyelawati me­numpukan sepenuh perhatian kepada anak sulungnya, Mohd. Hakimi, 9.

Bercerita lanjut, wanita itu berkata, dia tidak dapat memaafkan perbuatan suspek yang ber­usia 49 tahun.

“Saya difahamkan dia (suspek) masih di penjara dan dalam pro­ses perbicaraan. Saya harap dia dikenakan hukuman berat akibat perbuatan kejam tersebut,” katanya.

Wanita itu berkata, sekurang-kurangnya dengan hukuman berat yang menimpa suspek berkenaan dapat meringankan penderitaan mereka sekeluarga walaupun dia menyedari dua anak kesayangannya telah pergi buat selamanya.

Dalam kejadian pada pukul 11.45 malam, 8 Januari 2019, Nurul Hanim dan Mohammad Hafiz ditetak serta dikelar suspek dipercayai mengamuk.

Sebelum kejadian, lelaki itu dikatakan memanggil bapa kepada dua beradik tersebut sebelum menendang pintu dan menerjah masuk ke dalam rumah.

Suspek yang memiliki lima rekod kes dadah kemudian me­netak dan mengelar mangsa yang sedang tidur dengan parang.

Sumber: Kosmo

 

Share.

Leave A Reply