Seorang lelaki ‘scammer‘ yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan pakej perkahwinan berjaya ditahan pihak polis semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek yang berusia 28 tahun ditahan di Hentian Plaza Tol Bentong kira-kira pukul 9.30 malam semalam.
Menurut Zaiham, suspek disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sekiranya bersalah boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta boleh dikenakan sebat dan denda.
Baru-baru ini melaporkan seorang pengantin dan ibunya terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian kira-kira RM20,900 selepas ditipu dalam tawaran pakej perkahwinan.
Berdasarkan laporan, mangsa yang berusia 38 tahun dan ibunya berusia 58 tahun terpedaya dengan tawaran pakej perkahwinan ditawarkan suspek yang membuat pengiklanan di laman Facebook.
Mangsa bersetuju dengan pakej perkahwinan ditawarkan suspek meliputi set pelamin, baju pengantin, pakej persolekan, jurugambar dan katering.
Namun setelah mangsa membuat pembayaran penuh, suspek telah melarikan diri menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM20,900.
Rata-rata netizen di Facebook mengucapkan rasa syukur kerana suspek telah ditangkap. Mereka tidak mahu akan ada mangsa seterusnya yang ditipu.
Sumber: Kosmo