Scammer Semakin Berleluasa Di Malaysia, Rakyat Dinasihatkan Berwaspada

| April 19, 2021 | 0 Comments

Scammer Semakin Berleluasa Di Malaysia, Rakyat Dinasihatkan Berwaspada | Kes penipuan yang melibatkan ‘scammer‘ bukanlah sesuatu yang asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia. Malahan ada saja laporan yang dibuat oleh orang ramai yang telah menjadi mangsa penipuan ini.

Scammer Semakin Berleluasa Di Malaysia, Rakyat Dinasihatkan Berwaspada

Bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini saja, data Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukti Aman menunjukkan 5,078 kes penipuan dalam talian dilaporkan di seluruh negara. Dengan itu rakyat diarahkan untuk lebih berwaspada agar tidak menjadi mangsa penipuan golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Tiga negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Johor dikenal pasti sebagai antara lokasi panas kes penipuan terancang ini, dengan Selangor merekodkan kes tertinggi penipuan siber iaitu 1,050 kes, diikuti Kuala Lumpur (615) dan Johor (497) setakat 31 Mac lalu.

Jenayah scammer ini membabitkan pelbagai jenis kes penipuan dalam talian, termasuk Macau ScamLove Scam dan penipuan bomoh, khidmat pesanan ringkas (SMS), tanah, kad kredit, penyamaran, perniagaan serta pinjaman tidak wujud.

Jenayah ini tidak mengira siapa, ramai individu daripada pelbagai lapisan masyarakat telah menjadi mangsa scammer ini. Golongan profesional turut menjadi sasaran sindiket penipuan yang licik ini.

Misalnya, pada Mac lalu polis mendedahkan seorang doktor perubatan kerugian RM287,360 akibat ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Modus operandi yang sama juga menyebabkan seorang penternak ayam kerugian RM202,909 pada Disember lalu.

Sindiket jenayah terancang ini telah menyasarkan mangsa mengikut kriteria, tumpuan mereka lebih kepada golongan yang tertarik dengan ciri keuntungan yang banyak dalam tempoh yang singkat. Antara faktor mengapa mereka ini mudah tertipu adalah kerana disebabkan sifat tamak dan ingin kaya dengan mudah. Mangsa juga dikategorikan mempunyai sifat keterbukaan yang tinggi, kawalan diri yang rendah, mencari jalan mudah dan majoriti mempunyai tahap pendidikan yang rendah.

Kemajuan ekonomi juga memudahkan lagi penjenayahn untuk menjerat mangsa dengan hanya berkomunikasi melalui atas talian. Mereka akan mendapatkan mangsa melalui platform media sosial. Disebabkan semakin ramai rakyat yang terpedaya dengan penipuan ini semua, telah tiba masanya untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat berkaitan isu penipuan ini.

Walaupun pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) seringkali mengingatkan rakyat dan mengadakan pelbagai kempen kesedaran, namun jelas sekali masih ramai yang cuai, leka dan alpa.

Antara sindiket penipuan terbesar di Malaysia adalah Love Scam dan Macau Scam. Sindiket Love Scam lebih tertumpu kepada golongan wanita yang mudah terpengaruh dengan godaan serta pujuk rayu dari kaum lelaki yang tidak dikenali.

Manakala Macau Scam Macau Scam pula menggunakan modus operandi memperdaya mangsa dengan panggilan palsu hingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit. Kebiasaanya, sindiket beroperasi dengan cara menawarkan cabutan bertuah, tipu culik dan minta wang tebusan, spoofing pegawai polis atau agensi kerajaan serta pegawai bank negara atau bank komersial.

Antara tips yang boelh dilakukan bagi mengelakkan menjadi mangsa scammer adalah dengan tidak mengangkat sebarang panggilan daripada nombor yang tidak dikenali mahupun panggilan antarabangsa. Rakyat juga jangan sesekali mudah terpedaya dengan memberikan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali seperti alamat, nombor TAC, Nombor akaun dan lain-lain.

Sekiranya terdapat pihak yang meminta maklumat berkaitan kad debit mahupun perbankan, digalakkan supaya menamatkan sahaja panggilan telefon itu. Tip penting di sini ialah kita perlu bertenang, tidak takut dan panik. Selepas itu kita boleh semak nombor telefon bank atau pihak penguat kuasa undang-undang di laman web rasmi mereka seterusnya hubungi mereka untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Sumber: Harian Metro

Tags: , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *