Sebuah Masjid Di Utara Perancis Diarah Tutup. Ini Sebabnya| Perancis mengarahkan sebuah masjid di utara negara itu ditutup kerana pihaknya mengesan seorang imam yang mengamalkan fahaman radikal, menurut pihak berkuasa wilayah menerusi laporan BBC News, baru-baru ini.
Masjid di Beauvais, sebuah bandar dengan populasi penduduk seramai 50,000 orang dan terletak 100 kilometer (km) di utara Paris, ditutup selama enam bulan, kata pihak pentadbir wilayah Oise di mana Beauvais terletak.
Katanya khutbah yang disampaikan menimbulkan kebencian, keganasan dan mempertahankan jihad.
Pengumuman penutupan rumah ibadat itu dibuat dua minggu selepas Menteri Dalam Negeri, Gerald Darmanin, mendapati intipati khutbah disampaikan imam berkenaan menyasarkan penganut Kristian, homoseksual dan Yahudi.
Oleh itu, beliau mendapati tindakan imam itu sesuatu yang tidak boleh diterima.
Pihak berkuasa melancarkan operasi secara sah untuk memperoleh maklumat selama 10 hari sebelum tindakan diambil, tetapi berdasarkan apa yang diberitahu kepada AFP hari ini, masjid berkenaan sekarang ditutup dua hari.
Menerusi laporan BBC News, iman masjid berkenaan baru saja menganuti agama Islam.
BBC News turut memetik bahawa seorang peguam persatuan yang menguruskan masjid itu berkata bahawa kenyataan diambil di luar konteks dan sehubungan itu, imam terbabit digantung tugas susulan surat diterima dari pihak pentadbir wilayah.
Awal tahun ini, kerajaan Perancis ada mengumumkan pihaknya akan menjalankan pemeriksaan terhadap rumah ibadat dan majlis disyaki menyebarkan propaganda Islam radikal.
Ia susulan pembunuhan seorang guru bernama Samuel Paty pada Oktober tahun lalu, yang disasarkan menerusi kempen dalam talian terhadapnya kerana memaparkan kartun kontroversi mirip Nabi Muhammad SAW dalam majalah satira, Charlie Hebdo sewaktu kelas sivik.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, pada bulan ini saja, sekitar 100 masjid dan lebih 2,600 tempat solat penganut Islam disiasat kerana disyaki menyebarkan ideologi ‘pemisah’.
Katanya, enam tempat sedang disiasat untuk ditutup berdasarkan undang-undang Perancis yang menentang ekstremisme dan pemisahan Islam.
Sumber: BBC News