“Sekolah Vernakular Tak Bercanggah Perlembagaan Persekutuan”- Mahkamah Tinggi | Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan, kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular, serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa perantara utama di sekolah terbabit, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dilaporkan membuat keputusan itu selepas menolak saman dikemukakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).
Ketiga-tiga pertubuhan itu memohon untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Seksyen 2, 17 dan 28 dalam Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan dua bahasa terbabit di sekolah vernakular, adalah bercanggah dengan peruntukan 152(1)(a) perlembagaan.
Mereka juga dikatakan telah memohon perisytiharan kewujudan dan penubuhan sekolah terbabit bertentangan dengan perlembagaan.
Mohd Nazlan dalam penghakimannya berkata, penggunaan bahasa selain Bahasa Malaysia tidak bertentangan dengan perlembagaan kerana sekolah venakular bukanlah satu badan statutori atau pihak berkuasa tempatan yang wajib menggunakan bahasa kebangsaan.
Katanya, sekolah vernakular juga dilindungi oleh perlembagaan.
Sumber: Astro Awani