Sudan: 38 Maut Dalam Runtuhan Lombong Emas | Sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh dalam kejadian runtuhan lombong emas di Kordofan Barat, selatan Sudan, menurut satu kenyataan dikeluarkan oleh sebuah syarikat perlombongan milik kerajaan, baru-baru ini menurut laporan DW News.

Sudan: 38 Maut Dalam Runtuhan Lombong Emas

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pihak Pengurus Besar Sudanese Mineral Resources Company Limited melaporkan kejadian 38 pelombong maut dalam runtuhan lombong Umm Draisaya.

Difahamkan, lombong emas berkenaan terletak berhampiran bandar El Nuhud di Kordofan Barat, kira-kira 500 km dari ibu negara Sudan, Khartoum.

Kerajaan negeri dan jawatankuasa keselamatan negeri, sebelum ini, memutuskan untuk menutup lombong berkenaan, dengan alasan tidak sesuai untuk aktiviti perlombongan, menurut syarikat itu.

Bagaimanapun, menerusi laporan DW News, pelombong masih bekerja di lombong itu walaupun keputusan sudah dibuat, katanya.

Kira-kira dua juta rakyat Sudan bekerja dalam industri perlombongan tradisional termasuk di Laut Merah, Nahr al-Neel, Kordofan Selatan, Kordofan Barat dan Utara.

Menurut statistik rasmi, perlombongan tradisional menyumbang kira-kira 75 peratus daripada jumlah pengeluaran emas di Sudan, dengan melebihi 93 tan setahun.

Sumber: DW News

Share.

Leave A Reply