Selepas Telan Seekor Kambing, Ular Sawa Seberat 70 Kilo Berjaya Ditangkap APM | Seekor ular sawa telah berjaya ditangkap oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas dia dikatakan telah menelan seekor kambing di Jalan Besar, Behrang Stesen di sini, petang semalam.
Reptilia tersebut dikatakan telah ditemui salah seorang pekerja kandang kambing ketika sedang membersihkan kandang tersebut.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mualim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin, pihaknya menerima panggilan kejadian sekitar pukul 2.30 petang, semalam dan bergegas ke lokasi.
Jelasnya, empat anggota APM dikerahkan ke tempat kejadian untuk menangkap ular sawa tersebut yang sedang berlingkar di kandang kambing.
Setelah membuat pemeriksaan di lokasi kejadian, mereka telah mendapati ular sawa itu baharu sahaja menelan seekor kambing di kandang tersebut dan berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas dalam masa 10 minit.
Ular sawa yang besar tersebut dikatakan tidak melawan ketika ditangkap akibat kekenyangan.
Menurut Shahrizal, ia merupakan kejadian pertama berlaku di kandang berkenaan dan pihak APM telah membawa ular berkenaan pulang ke pejabat terlebih dahulu.
Ular Sawa tersebut dilaporkan telah dibawa ke pejabat sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sungkai.
Sumber: Astro Awani