‘Self Feeder and Rescuer’ Berbakti Kepada 100 Kucing Jalanan Di Kelantan | Seorang ‘figura’ ini bukanlah siapa-siapa mahupun seorang selebriti terkenal, namun kerana baktinya yang tidak terperi menyebabkan dia menjadi seseorang yang penting dan sering ditunggu-tunggu oleh 100 ekor makhluk comel berdekatan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, di sini.
Figura penting ini telah dikenali sebagai Nor Izyan Syahida Rosli,26, yang merupakan seorang ‘self feeder and rescuer’ (pemberi makanan dan penyelamat) kepada 100 ekor kucing jalanan di sekitar terbabit yang rata-ratanya telah dibuang pemilik asal, malah ada yang sakit serta memrlukan rawatan dengan segera.
Izyan telah memberitahu bahawa sejak setahun yang lalu, dia telah mendedikasikan dua jam masanya setiap petang untuk datang dan memberikan ‘buah tangan’ kepada para peminat yang sering menunggunya di lokasi terbabit.
Apa yang lebih mengalakkan beliau untuk meneruskan aktivti ini adalah semasa datang ke lokasi tersebut kira-kira sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua kilogram makanan yang dibawak untuk diberi kepada ratusan kucing di situ telah habis dalam masa yang singkat.
Tambah beliau lagi, apabila melihat keadaan kucing di lokasi tersebut yang bergelut untuk mencari makanan dan ia membuatkan dirinya tersentuh justeru, dia telah meneruskan aktiviti memberi makanan dan minuman kepada kucing di lokasi terbabit sehingga ke hari ini.
Walaupun terpaksa berulang-alik sekitar 24 kilometer dari rumah ke lokasi terbabit, namun pengorbanan yang dilakukan Izyan, seorang pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial Dengan Kepujian (Hubungan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini, sedikit pun tidak rasa terbeban asalkan niatnya dapat membantu mamalia tersebut tercapai.
Tambahnya lagi, makanan-makanan tersebut turut disumbang oleh ‘Dady Oyen Strays Malaysia’ kepada ‘self feeder and rescuer’ sepertinya untuk mengagihkan makanan kepada kucing-kucing yang memerlukan selain orang awam turut memberi sumbangan kepadanya kerana memerlukan sekurang-kurangnya RM150 sehari untuk membeli makanan kepada kucing-kucing jalanan terbabit.
Selain memberi makanan, beliau turut memberi ubat-ubatan kepada kucing terbabit seperti antibiotik, ubat tahan sakit, vitamin, penggalak imunisasi dan makanan pelengkap kepada kucing yang memerlukan rawatan. Jelasnya, terdapat beberapa kucing yang terpaksa dirawat akibat menghidapi penyakit seperti selesema, demam, sakit mata, cirit-birit, kurap, penyakit kulat sporotrichosis serta diserang virus parvo.
Tambahnya lagi, jika kucing mengalami gejala sakit yang ringan, beliau akan segera rawat terus di sini, namun jika penyakit lebih teruk ia akan dibawa pulang seterusnya dibawa ke klinik veterinar.
Sumber: Astro Awani