Terpedaya Dengan Iklan Jual Kereta Tidak Wujud, Lelaki Rugi RM14,850 | Gara-gara mahu membeli kereta terpakai dengan harga yang murah, seorang pemandu lori mengalami kerugian sebanyak RM14,850 apabila terpedaya dengan iklan jual kereta yang tidak wujud di laman sosial Facebook pada Januari lalu.
Kuantan: Mangsa yang berusia 56 tahun sebelum itu dimaklumkan rakannya mengenai iklan penjualan kereta jenis Honda City di Facebook milik Everay Scrab Moto dengan harga RM9,200.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa telah menghubungi seorang lelaki yang dikenali sebagai Mr Yong bagi urusan pembelian kereta tersebut. Menurutnya, suspek meminta mangsa untuk membayar RM6,200 sahaja kerana kononnya ia merupakan potongan harga sempena Tahun Baharu Cina.
Mangsa berminat untuk membeli kereta yang ditawarkan. Suspek meminta mangsa menghubungi Mr Ong bagi urusan pembelian kereta tersebut.
“Selepas bersetuju, mangsa diminta membuat pembayaran bagi penempahan kereta, urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pelbagai urusan lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau berkata, mangsa telah membuat lapan transaksi ke dalam tujuh akaun yang berbeza berjumlah RM14,850 pada 9 Februari hingga 30 April lalu. Pada Ahad lalu, suspek dikatakan lagi sekali menghantar satu pesanan menerusi aplikasi WhatsApp meminta wang sebanyak RM1,000 kononnya bagi urusan penghantaran kereta.
Walau bagaimanapun, katanya mangsa pada ketika itu tidak mempunyai wang untuk membuat pembayaran tersebut. Mangsa kemudiannya bertanyakan suspek mengenai kereta yang dibelinya, namun suspek menyekat nombor telefonnya.
“Mangsa berasa tertipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh,” kata beliau.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, seorang pengurus di sebuah syarikat telah mengalami kerugian sebanyak RM5,000 apabila ditipu seorang individu yang menyamar sebagai rakannya bagi tujuan meminjam wang.
Mohd Wazir berkata, kejadian bermula pada Ahad apabila mangsa yag berusia 37 tahun itu menerima satu pesanan menerusi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri dengan nama Azali Wawasan Damaq.
Katanya, suspek memaklumkan mahu meminjam wang daripada mangsa dan akan membayar semula pada sebelah malam.
“Tanpa berfikir panjang, mangsa membuat pemindahan wang secara dalam talian ke dalam dua akaun berbeza sebanyak RM5,000,” katanya.
Beliau berkata, setelah membuat pemindahan tersebut, mangsa menerima satu lagi pesanan daripada Azli meminta agar tidak membuat pemindahan wang. Menurutnya, Azli mendakwa nombor telefonnya telah digodam dan ada individu lain yang menggunakan nombor telefonnya untuk meminjam wang.
“Mangsa berasa telah ditipu tampil membuat laporan polis pada semalam (Ahad),” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sumber: Sinar Harian