JAWA TIMUR — Aksi seorang lelaki yang tampal sendiri jalan berlubang di Jalan Raya, Daerah Deket-Karangbinangun, Lamongan telah meraih perhatian ramai, lapor Kompas.

Difahamkan, lelaki berusia 62 tahun dan juga merupakan seorang pembawa beca itu telah berbuat demikian sejak dua hari berturut-turut berikutan kerisauan terhadap anak perempuannya yang berisiko tercedera ketika melalui jalan itu.

Dia melakukan perkara itu dengan menggunakan bahan sementara yang dimiliki sebagai alternatif untuk menutup lubang-lubang di jalan berkenaan.

“Saya gunakan apa sahaja alat dan bahan sementara yang boleh digunakan untuk menampal lubang jalan.

“Saya cuma risau anak saya yang ulang-alik bekerja di bandar disebabkan menggunakan jalan ini setiap hari.

“Saya lihat keadaan jalan terdedah kepada risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya. Tambahan lagi, faktor jalan itu yang rosak dan berlubang,” katanya pada Khamis lalu.

Sementara itu, tindakan lelaki terbabit telah mendapat respon daripada Kerajaan Daerah Lamongan (Pemkab).

Ketua Perkhidmatan Kerja Raya Bina Marga Lamongan, Sujarwo berkata pihaknya akan segera membaik pulih jalan tersebut terutamanya di sekitar Desa Deket Kulon.

“Sejak semalam, kerja membaik pulih jalan telah dilaksanakan. Semua jalan yang rosak di bahagian Deket-Karangbinangun akan ditangani dengan segera,” kata Suwarjo sewaktu dihubungi.

Sumber: Siakap Keli

 

Baca Juga: Akibat Tidak Puas Hati Jalan Berlubang, Penduduk Tanam Pokok Pisang Tengah Jalan

KULIM: Penduduk di pekan Junjung di sini, terkejut melihat dua pokok pisang ditanam di dalam lubang di tengah jalan di kawasan tersebut semalam.

Pokok pisang nangka setinggi hampir dua meter itu ditanam secara berasingan di Jalan Komersial Junjung dan sepokok lagi di tengah jalan pusat penjaja.

Tindakan tersebut dipercayai dilakukan oleh individu di pekan tersebut yang tidak berpuas hati dengan keadaan jalan tersebut yang berlubang sejak dua tahun lalu.

Seorang penduduk Wan Cik Ismail, 70,  dia menyedari pokok pisang tersebut ditanam di jalan tersebut pada pagi semalam.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan pokok pisang itu ditanam sebagai tanda tidak berpuas hati dengan keadaan jalan tersebut yang rosak  dan tidak diperbaiki oleh pihak berkuasa tempatan.

“Setakat ini, tidak diketahui individu yang terlibat menanam pokok pisang di jalan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagaimanapun pokok pisang tersebut telah dibuang oleh Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Seorang  penduduk, Lit  Ahmad, 80,  berkata, masalah jalan rosak di kawasan itu berlaku sejak lebih dua tahun lalu namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa tempatan memperbaiki jalan tersebut.

Katanya,  tindakan menanam pokok pisang itu diambil mungkin  setelah  tidak tahan lagi dengan keadaan jalan yang rosak sehingga  mengundang bahaya kepada pengguna.

“Saya harap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera membaik pulih jalan yang rosak itu selepas ini,” ujarnya.

Aishah Abd. Kadir, 29, pula berkata, tindakan tersebut diharap dapat ‘membuka mata’ pihak berkuasa tempatan mengenai keadaan jalan di kawasan itu yang rosak teruk.

“Walaupun difahamkan masalah jalan rosak di kawasan tersebut telah dilaporkan kepada pihak berkuasa tempatan tetapi tiada tindakan diambil untuk keselesaan pengguna,” katanya.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply