Lelaki yang terjatuh ke dalam sungai di Kampung Batu 7, Jalan Sanglang di sini, semalam, sempat menjerit meminta tolong dalam keadaan terkapai-kapai sebelum tenggelam.
Dalam kejadian itu, mangsa, Khairul Azuar Mohd Saud, 41, yang juga seorang guru itu dipercayai pergi ke sungai berkenaan bersama rakannya untuk menjala ikan.
Ketika kejadian, rakan cuba membantu mencari mangsa tapi gagal disebabkan air keruh serta kedalaman sungai itu melebihi dua meter.
Berikutan itu, rakannya itu meminta bantuan orang awam untuk membantu mencari mangsa sebelum mayatnya ditemukan dengan bantuan bomba.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada MERS 999 pada 5 petang semalam berhubung kejadian lemas di sungai berkenaan.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati mangsa sudah dibawa naik oleh bomba.
Katanya, hasil pemeriksaan pada badan mangsa mendapati tiada tanda atau unsur jenayah.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat.
Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai akibat lemas.
“Mangsa berasal dari Kampung Padang Behor, Kangar di Perlis dan jenazah sudah diserahkan kepada keluarga untuk tindakan lanjut,” katanya.
Difahamkan, mangsa tidak pandai berenang.
Sumber : Buletin TV3
ARTIKEL LAIN YANG MENARIK UNTUK DIBACA
49 Pelajar Madrasah Ditemukan Lemas | Seramai 51 orang termasuk 49 kanak-kanak dan remaja lelaki lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik di sebuah tasik di barat laut Pakistan, Ahad lalu.
Pegawai kanan pasukan penyelamat, Khateer Ahmad mengesahkan, 49 mangsa berusia antara tujuh hingga 14 tahun itu adalah pelajar sebuah madrasah yang mengadakan lawatan sehari ke tasik Tanda Dam, Ahad lalu.
Katanya, dua lagi mayat yang ditemukan ialah seorang guru dan pengendali bot berkenaan.
Beliau berkata, air empangan itu membeku kerana cuaca sejuk sekali gus menghalang misi menyelamat.
Beliau juga berkata, manakala hari ini penyelam dapat menyelam kawasan paling dalam untuk mengeluarkan mayat mangsa lain.
Jurucakap polis, Fazal Naeem mengeluarkan angka kematian membabitkan 51 orang selepas tamat misi menyelamat semalam, selain turut mengesahkan punca kemalangan itu.
Bot itu terlebih muatan sedangkan kapasitinya cuma 20 hingga 25 orang saja.
Fazal berkata kepada AFP bahawa lima orang berjaya diselamatkan termasuk empat pelajar dan seorang guru.
Sementara itu, mangsa terselamat, Muhammad Mustafa, 11, berkata, nasibnya baik kerana tersangkut di bawah bot selepas kemalangan.
Mangsa itu berkata, badan dia kebas kerana airnya sangat sejuk.
Mangs aitu juga berkata, dia fikir dia akan mati apabila seorang lelaki di atas tiub kembung menyelamatkannya.
Dalam pada itu, Muhammad Umar, yang menjual teh di tapak perkelahan yang menghadap ke destinasi pelancongan popular hujung minggu itu berkata, puluhan ibu bapa dan saudara-mara berkumpul sejak beberapa hari lalu bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai mangsa.
Setiap kali mayat ditemukan di tempat kejadian, mereka akan pergi ke arah penyelam untuk melihat sama ada itu anak mereka dan waktu itulah kami akan mendengar mereka menjerit dan keperitan kehilangan insan tersayang.
Umar berkata ketika dihubungi semalam, seumur hidup, dia tidak pernah menyaksikan perkara ini dan ia tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata.
Tasik Tanda Dam terletak kira-kira lima kilometer dari madrasah berkenaan iaitu sebuah sekolah Islam yang menawarkan pendidikan agama percuma di Kohat, wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
Sumber : KMN