Seorang Ibu Tidak Serik ‘Buang’ Anak Di Hospital 2 Kali Berturut-Turut | JOHOR BAHRU – Seorang ibu sangup bertindak ‘membuang’ zuriat yang lahirkan apabila meninggalkan bayinya di Hospital Sultanah Aminah, di sini, 17 Mac lalu.
Perbuatan keji itu dilakukan wanita berusia 27 tahun kali kedua meskipun belum genap setahun melahirkan anak sendiri pertengahan tahun lalu.
Menurut Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, tanpa berfikir panjang, wanita warga tempatan itu menghilangkan diri selepas meninggalkan bayi lelakinya diberi nama Dharwin.
Ujarnya, mengikut maklumat, wanita berkenaan bertindak meninggalkan bayi itu di wad A4 hospital terbabit.
“Wanita itu pernah melakukan perbuatan sama apabila meninggalkan bayi lelaki yang dinamakan sebagai Damian di hospital selepas dilahirkan pada pertengahan tahun lalu.
“Akibat perbuatannya, masa depan Damian menjadi tanda tanya dan kini adiknya ditimpa nasib sama.
“Ibu mereka gagal tampil membincangkan masa depan kedua-duanya sehingga kini,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Adnan berkata, Dharwin kini dibawah jagaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sehingga JKM mengurus permohonan sijil kelahiran manakala Damian berada di bawah jagaan JKM selama tiga bulan dan kini di bawah jagaan orang layak serta sesuai.
Menurutnya, pihaknya berharap wanita berkenaan dikenali sebagai M Yugesshini yang berasal dari Negeri Sembilan atau warisnya tampil membincangkan masa depan dua-dua bayi berkenaan.
“Perbuatan wanita itu menimbulkan kesulitan bagi permohonan sijil kelahiran selain dikhuatiri boleh menjejaskan masa depan dua beradik itu.
“Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan ibu kandung atau waris bayi itu diminta menghubungi Pelindung Kanak-Kanak, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606, 07-2232607 atau 0111-7535394,” katanya.
Sumber: Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Bayi Lelaki Baru Lahir Ditemui Di Bawah Pokok Dan Dihurung Kerengga
Bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemukan di atas kayu berhampiran pagar sebuah kilang makanan laut di Kampung Peramu di sini, kelmarin.
Bayi yang dipercayai baharu beberapa jam dilahirkan itu ditemui seorang wanita berusia 52 tahun kira-kira 12.10 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, selain beberapa gigitan serangga, bayi itu dilaporkan stabil dan dimasukkan ke wad untuk pemerhatian di wad kanak-kanak Hospital Tengku Ampuan Afan (HTAA).
Beliau berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan bayi baharu lahir yang masih hidup berhampiran kilang makanan laut itu.
“Seorang wanita berusia 52 tahun yang menemui bayi itu mendakwa mendengar suara tangisan bayi kira-kira jam 7.30 pagi, tetapi tidak mengesyaki apa-apa dan beranggapan tangisan dari rumah jirannya.
“Namun, pada 11.30 pagi, wanita itu masih mendengar suara tangisan dan mencari suara berkenaan sebelum menemui seorang bayi lelaki masih hidup berhampiran pagar kilang makanan laut.
“Bayi berkenaan diletakkan di atas kayu dan ketika ditemui bayi itu dalam keadaan berdarah serta masih mempunyai tali pusat.
“Terdapat kerengga menggigit badan bayi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, wanita berkenaan kemudian meminta bantuan rakannya yang bekerja di kilang makanan laut itu untuk memaklumkan kepada polis.
Wan Zahari berkata, bayi itu kemudian dibawa ke HTAA untuk mendapatkan rawatan dan ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, polis turut meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh dari kilang, namun ia tidak menghala ke lokasi bayi lelaki itu ditemui.
“Kami percaya bayi itu dilahirkan di tempat lain dan suspek cuba menyembunyikan kelahiran dengan membuangnya di tempat kejadian pada awal pagi.
“Doktor yang memeriksa bayi berkenaan menganggarkan bayi itu dilahirkan kurang tiga jam sebelum diselamatkan,” katanya.
Katanya, polis sedang mengumpul maklumat dengan mengunjungi klinik swasta di sini untuk mengesan suspek.
“Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 371 Kanun Keseksaan.
Sumber : KMN