Seorang lelaki kurang siuman ditahan kerana melakukan gangguan seksual ke atas seorang wanita.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, berkata, penahanan ke atas suspek berusia 21 tahun itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa, 26, semalam.

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut mengesan satu video berdurasi 21 saat yang tular di laman Twitter yang menunjukkan perlakuan suspek itu.

Dalam video berkenaan, suspek yang menunggang motosikal bertindak menghentikan kereta mangsa, lalu mencium cermin hadapan kereta mangsa.

“Kira-kira pukul 7 malam di Jalan Kampung Rampangi, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching telah membuat tangkapan ke atas suspek.

“Turut dirampas motosikal yang digunakan suspek semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, Merbin berkata semakan rekod lampau mendapat suspek mempunyai dua rekod berkaitan kes jenayah narkotik dan jenayah harta benda.

Malah, katanya suspek turut didapati mempunyai kad rawatan pakar psikiatri dari Hospital Umum Sarawak dan masih menjalani rawatan susulan.

Sehubungan itu, beliau berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 28 Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sarawak 1957 dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sumber : Kosmo

 

 

ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA

Seorang Pembantu Jurulatih Selam Skuba Cabul Pelancong Wanita Semasa Berselam

Semporna: Pembantu jurulatih selam skuba ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang pelancong wanita warga China, di sini, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna Asisten Superintendan Arif Abdul Razak berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 27 tahun itu ditahan di sebuah penginapan atas air, dekat sini, selepas mangsa membuat laporan jam 10.03 pagi, Sabtu lalu.

Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa yang berumur 25 tahun itu, kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari Jumaat lalu.

“Mangsa mendakwa dicium oleh seorang pembantu jurulatih selam skuba (Divemaster) ketika melakukan aktiviti selam skuba di kawasan perairan sebuah pulau peranginan di sini,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebaik laporan dibuat, mangsa kemudiannya bergerak ke Lapangan Terbang Tawau sebelum berlepas ke Kuala Lumpur dan seterusnya menyambung penerbangan balik ke negara asal.

Katanya, suspek yang bekerja separuh masa sebagai pembantu jurulatih selam skuba itu ditahan reman selama lima hari sehingga 11 Mei depan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.

Terdahulu, kejadian itu tular di Facebook dengan perkongsian beberapa gambar termasuk gambar mangsa dicium ketika melakukan aktiviti selam skuba, selain tangkap layar perbualan suspek dengan mangsa serta laporan polis.


Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply