Seorang Lelaki Cedera Parah Ditetak 2 Lelaki.

| November 25, 2020 | 0 Comments

Seorang Lelaki Cedera Parah Ditetak 2 Lelaki. | Teluk Intan: Lelaki parah selepas diserang dan ditetak dua lelaki tidak dikenali yang dipercayai bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah pasar mini di Jalan Kampung Banjar di sini, semalam.

Sebelum kejadian, mangsa berusia 46 tahun itu datang ke premis itu untuk membeli barang pada 8.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, sebaik selesai membuat bayaran, mangsa yang keluar dari premis mendapati sebuah kereta Honda City berwarna kelabu berhenti berhampiran dengannya.

Menurutnya, kemudian dua lelaki yang memakai pakaian berwarna gelap berserta topeng muka keluar daripada kereta itu sambil masing-masing membawa sebilah parang sepanjang 0.6 meter.

“Mangsa berlari masuk ke dalam kedai namun dikejar kedua-dua suspek itu sehingga terjatuh sebelum mereka menetak mangsa di tangan dan kakinya dengan parang beberapa kali.

“Dua lelaki itu kemudian melarikan diri dengan Honda City yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan dan keadaannya kini stabil.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami luka kesan tetakan senjata tajam di lengan dan paha kanan selain siku dan lutut kiri.

“Selain itu, hasil pemeriksaan menerusi ujian x-ray mendapati mangsa patah tulang siku kiri, tulang pengumpil lengan kiri dan kanan serta tulang paha kanan,” katanya.

Anuar berkata, polis juga sudah melakukan pemeriksaan di lokasi dan menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh berkata, pihaknya giat mengesan suspek kejadian itu bagi membantu siasatan.

Terdahulu rakaman CCTV yang menunjukkan mangsa berlari masuk ke dalam kedai sambil dikejar dua lelaki yang memakai penutup muka dengan membawa senjata tular di media sosial.

Pekerja dan pelanggan yang berada di kedai itu dilihat ketakutan dan ada pelanggan yang terus berlari keluar untuk menyelamatkan diri.

Sumber : Metro

Tags: , , , , , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *