Seorang lelaki di Singapura didakwa di mahkamah kerana gagal menyediakan makanan dan air untuk kucingnya secukupnya selama lima minggu sehingga mengakibatkan haiwan itu mati kebuluran, lapor CNA.
Asalnya tertuduh yang berusia 25 tahun itu didakwa pada Ogos lalu kerana menyebabkan kucingnya mati kelaparan, tetapi pertuduhan itu dipinda pada Rabu.
Tertuduh menghadapi pertuduhan menyebabkan kesakitan dan penderitaan kepada kucing kelabunya dengan gagal memberikannya makanan dan air yang mencukupi secara tetap antara 25 Disember 2020 dan 2 Februari 2021.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh memelihara kucing itu di sebuah flat di Sembawang.
Difahamkan, tertuduh sepatutnya mengaku bersalah pada Rabu, namun dia meminta penangguhan untuk mengumpul dana serta memberi alasan isterinya baru bersalin tiga minggu lalu.
Tambah tertuduh, dia turut mempunyai janji temu bersama Lembaga Perumahan (Singapura) pada hari berikutnya, namun sekiranya gagal menghadirkan diri, rumah flat didudukinya akan dirampas semula.
Hakim berkata lazimnya sebarang penangguhan demi penangguhan memang tidak dibenarkan, namun beliau mengambil kira jawapan tertuduh sama ada dia mampu ataupun tidak untuk mendapatkan dana.
Tertuduh menjawab dia mampu untuk berbuat demikian dan akhirnya hakim memberi penangguhan pada Disember untuk tertuduh membuat pengakuan.
Atas pertuduhan yang dihadapi, tertuduh boleh dipenjara sehingga 18 bulan, didenda sehingga RM50,000 atau keduanya-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Sumber: CN News