Seorang Lelaki Sedang Kuarantin Ditemui Meninggal Dunia. | Teluk Intan: Penjawat awam yang juga pesakit Covid-19 ditemukan meninggal dunia di kediamannya di Taman Seri Setia, di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 47 tahun yang menjalani kuarantin itu ditemukan terbaring selepas polis menerima panggilan daripada rakan mangsa yang gagal menghubunginya pada 9.58 malam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, rakan mangsa cuba menghubungi mangsa beberapa kali namun gagal.

Menurutnya, susulan itu, pihaknya mengarahkan anggota ronda ke lokasi dan mendapati pintu dan tingkap rumah berkunci.

“Polis mendapatkan bantuan bomba untuk membuka pintu dan menemui mangsa terbaring serta disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Mangsa sedang menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19 pada 28 September lalu dan lelaki berkenaan tinggal seorang diri di rumah itu serta masih bujang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Adnan berkata, pemeriksaan di rumah mangsa mendapati tiada kesan pencerobohan dan pemeriksaan fizikal mangsa juga tiada unsur jenayah.

Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut.

“Punca kematian disahkan oleh doktor adalah disebabkan Covid-19,” katanya.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply