Batu Pahat: Sepasang kekasih berusia 25 dan 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan bersama membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Izwan Mahmood, 25, dan gadis di bawah umur itu membunuh kanak-kanak berkenaan antara jam 8 pagi sehingga 2 petang di Felda Semenchu Teluk Sengat Kota Tinggi, antara 10 sehingga 23 Disember tahun lalu.
Mereka melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan tiada sebarang rekod pengakuan diambil.
Majistret Nurasidah A Rahman menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes.
Dalam pada itu, di mahkamah yang sama, kakak kandung mangsa bunuh berkenaan, Nurul Natashah Danial @ Zainal, 20, tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mendera adiknya itu di Jalan Kampung Sri Pantai, Senggarang di sini sekitar November sehingga Disember tahun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kanak-kanak lelaki itu, tertuduh menganiaya iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan jam lebih kurang 10 pagi sehingga 10 malam pada tempoh berkenaan dan oleh yang demikian tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos tidak menawarkan sebarang jaminan untuk tertuduh yang diwakili
Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Dalam pada itu, Majistret Nurasidah A Rahman menetapkan tarikh 12 Januari ini supaya permohonan jaminan didengar di Mahkamah Sesyen Batu Pahat.
Sumber: Harian Metro
Baca Juga: Suami Bun0h Isteri Kerana Wang Simpanan Diberkas Di Batu Gajah
Berang wang simpanan digunakan Isteri tanpa pengetahuan, seorang lelaki bertindak memukul mangsa menggunakan sepana boleh laras di sebuah rumah kedai Taman Damai Utama, di sini, 16 Disember lalu.
Tindakan suami mangsa terbongkar selepas sepasukan polis dari Balai Polis Baru Gajah memberkas suspek di sebuah rumah di Bemban Ria, Batu Gajah, Perak, pukul 12.30 tengah hari kelmarin.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalangan berkata, selepas kejadian berlaku, suspek telah melarikan diri meninggalkan empat orang anaknya bersama mayat isterinya warga Indonesia yang berusia lewat 30-an.
Katanya, kanak-kanak tersebut yang berusia linkungan lima tahun hingga enam bulan ditemui selamat beberapa jam selepas anggota polis tiba di lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan di belakang kepala hingga menyebabkan kematian di tempat kejadian.
“Dengan bantuan sepasukan polis dari Balai Polis Batu Gajah, seorang lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dengan kes tersebut, tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Jelas Anbalangan, suspek sudah berkahwin selama tujuh tahun dan mengaku bertindak memukul kepala isterinya menggunakan sepana boleh laras.
“Kejadian terjadi akibat pergaduhan antara suspek dan mangsa dimana wang simpanan bersama berjumlah RM6,000 digunakan mangsa untuk menghantarkannya kepada keluarganya di kampung tanpa pengetahuan suspek.
“Suspek ditahan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman,” katanya.
Sumber: KMN