Serangan Junta Usir Hampir 250,000 Penduduk Di Myanmar | Tindakan kekerasan junta tentera bagi menangani tunjuk perasaan awam yang membantah rampasan terhadap kuasa telah mengakibatkan hampir 250,000 penduduk di Myanmar hilang tempat tinggal.
Tentera telah meningkatkan penggunaan kekerasan bagi menghentikan demonstrasi besar-besaran terhadap rampasan kuasa pada 1 Februari lalu yang menggulingkan pemimpin awam, Aung San Suu Kyi.
Wakil Khas Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Myanmar, Tom Andrews, situasi seperti itu menuntut masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera menangani bencana kemanusiaan yang berlaku di negara itu.
“Amat mengerikan apabila mengetahui tindakan junta mengakibatkan hampir suku juta penduduk Myanmar hilang tempat tinggal,” katanya menerusi ciapan Twitter, semalam.
Ekoran daripada bencana kemanusiaan tersebut, 738 terkorban akibat tindakan junta itu manakala 3,300 telah ditahan di penjara, dakwa kumpulan pemantau tempatan.
Sementara itu, jurucakap kumpulan pemberontak, Briged Lima Kesatuan Kebangsaan Karen, Padoh Mann Mann berkata, lebih 2,000 etnik Karen kini dikatakan telah menyeberangi sempadan Myanmar ke Thailand dan ribuan lagi etnik itu hilang tempat tinggal.
Katanya, dunia ini memerlukan tindakan yang segera untuk menangani isu yang berkaitan dengan bencana kemanusiaan ini. Dalam pada itu, mereka yang lain dikatakan sedang bersembunyi di dalam hutan.
Pengarah Pasukan Pembebasan Burma, David Eubank pula berkata, lebih 24,000 penduduk di kawasan Karen hilang tempat tinggal selepas junta melakukan serangan mortar dan udara pada awal bulan ini.
“Walaupun serangan udara sudah berakhir, serangan darat terus meningkat,” katanya.
Jelasnya lagi, kebanyakan yang terjejas akibat serangan junta ini ialah penduduk dari golongan pesawah, sekaligus dijangka menyebabkan berlaku kekurangan makanan jika mereka tidak dapat kembali ke kediaman mereka untuk menanam padi.
“Dijangkakan masalah terputus bekalan makanan selama enam bulan akan berlaku akibat masalah ini,” katanya.
Eubank turut berkata, serangan udara berterusan di Kachin di utara Myanmar telah mengakibatkan kira-kira 5,000 penduduk hilang tempat tinggal.
Sementara itu, menteri luar dan pemimpin ASEAN dilaporkan akan bermesyuarat di Jakarta pada Sabtu ini bagi membinangkan krisis di Myanmar. – AFP
Sumber: Berita Harian