Serbuan kedua telah dilakukan oleh Jabatan Imigresen Pulau Pinang di kilang plastik dan kotak di kawasan perindustrian Juru pagi tadi selepas pihak mereka berjaya menahan 45 pekerja asing .

Serbuan Jabatan Imigresen Berjaya Tahan 45 Warga Asing

Serbuan dilakukan sepasukan 23 penguat kuasa dan pegawai imigresen negeri pada jam 10.40 pagi hasil maklumat yang diperoleh.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Shah Inor Shahbudin, berkata beberapa pekerja asing cuba meloloskan diri sebaik melihat kehadiran anggota pihak berkuasa, namun berjaya dicekup.

Secara keseluruhan, seramai 45 pekerja asing berusia antara 20 hingga 35 tahun diperiksa di kedua-dua premis dan semua dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Jelasnya lagi, antara kesalahan adalah tiada dokumen pengenalan diri, ada juga yang mempunyai pas, tetapi menyalahgunakannya dan tinggal lebih masa.

Serbuan Jabatan Imigresen Berjaya Tahan 45 Warga Asing

Menurut Shah Inor, siasatan turut mendapati ada pekerja asing yang ditahan dipercayai memasuki negara ini secara haram dengan menggunakan lorong tikus.

Beliau berkata, ia hasil temu bual ke atas seorang pekerja wanita dari Myanmar yang bekerja di negara ini sejak tiga bulan lalu. Selain itu, ada juga yang mempunyai pasport, tetapi tidak mempunyai pas.

Katanya lagi, kebanyakan pekerja asing berkenaan sudah bekerja di negara ini antara dua hingga tiga tahun lalu dan semua yang ditahan dibawa ke lokap penguat kuasa di Pejabat Imigresen Seberang Jaya untuk siasatan lanjut.

Majikan yang menggajikan pekerja asing ini juga akan disiasat dan dikenakan tindakan sekiranya gagal menyediakan dokumen berkaitan pengambilan pekerja terbabit.

Ujarnya lagi, kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Sumber : Berita Harian

Share.

Leave A Reply