Malaysia terselamat daripada risiko susulan serpihan daripada penggalak roket Long March 5B milik China yang dilancarkan ke angkasa lepas pada 31 Oktober lalu.

Serpihan Roket China Terhempas Ke Bumi. 'Ini' Bakal Menimpa Malaysia

Ini berikutan ia dilaporkan dijangka memasuki ruang udara bumi hari ini dan tidak pasti di mana ia akan terhempas.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah, berkata MOSTI melalui agensi itu telah memantau dengan rapi operasi pelancaran roket China sejak tarikh pelancarannya.

Katanya, pemantauan berterusan dijalankan terhadap serpihan atau sisa roket yang mengorbit bumi didapati telah memasuki atmosfera bumi jam 5.21 petang semalam.

Jelasnya, sebahagian besar debris (serpihan) berkenaan telah jatuh di Lautan Pasifik.

Katanya, ini bermakna tiada risiko terhadap Malaysia. Alhamdulillah.

Terdahulu, menurut laporan DailyMail.com, pakar berkata setakat semalam lokasi di mana serpihan daripada penggalak roket Long March 5B milik China seberat 21 tan dan sebesar bangunan 10 tingkat itu akan terhempas belum dapat ditentukan.

Justeru, wujud kebimbangan ia akan menimpa kawasan berpenghuni, sekali gus mendorong saintis bertungkus-lumus membuat perangkaan lokasi di mana serpihan itu mungkin jatuh sebelum ia memasuki atmosfera bumi.

Penggalak roket terbabit digunakan bagi membawa modul ketiga dan terakhir Stesen Angkasa Lepas Tiangong.

Secara kasarnya, antara 20 hingga 40 peratus daripada serpihan berkenaan akan sampai ke bumi, tertakluk bergantung kepada reka bentuk objek terbabit.

Pentadbir NASA, Bill Nelson, berkata sebelum ini serpihan roket Long March jatuh ke bumi pada Julai lalu dan China juga mengambil pendekatan berdiam diri berhubung perkara itu, yang penting bagi memastikan keselamatan penduduk di bumi.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply