Orang Ramai Dinasihatkan Jangan Terpengaruh Dengan Sindiket Tawar Lesen Memandu Lulus Tanpa UjianĀ | Orang ramai berpeluang mendapatkan lesen memandu secara pos tanpa melalui sebarang ujian. Mereka hanya perlu untuk membayar sejumlah wang yang telah ditetapkan mengikut kategori lesen yang dikehendaki.
Itu merupakan tawaran yang ditawarkan oleh sindiket lesen memandu secara haram yang mendakwa ia didaftarkan secara terus di dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mereka menggunakan platform sosial media untuk memerangkap orang ramai.
Tawaran yang diberikan itu dapat memerangkap individu yang terdesak untuk mendapatkan lesen dengan cara yang mudah dan bayaran yang murah. Untuk menarik mangsa, sindiket tersebut menggunakan modus operandi iaitu menawarkan lesen tanpa perlu mengikuti kelas memandu atau ujian oleh JPJ.
Mangsa hanya perlu memberikan gambar, dokumen dan maklumat peribadi serta membayar kos ditetapkan, sebelum mereka boleh mendapat lesen memandu pasaran gelap itu dalam masa tiga hingga lima hari. Sindiket terbabit mendakwa lesen yang diperolehi adalah sah dan maklumat pelanggan akan dimasukkan ke dalam sistem JPJ bagi memudahkan urusan memperbaharui dokumen berkenaan dibuat setelah tamat tempoh.
Tinjauan mendapati terdapat sebanyak 11 kelas lesen ditawarkan dengan harga dari RM350 sehingga RM750. Pemohon hanya perlu menyertakan salinan kad pengenalan depan dan belakang dan alamat lengkap untuk tujuan pengeposan. Taktik sindiket terbabit sebelum ini sudah didedahkan, namun ia tidak menjejaskan mereka, malah terus mempromosikan lesen terbang di media sosial.
Antara kaedah atau medium media sosial yang digunakan oleh sindiket tersebut ialah melalui WhatsApp, Facebook, Instagram dan laman sesawang. JPJ menegaskan bahawa sebarang lesen memandu yang dikeluarkan tanpa mengikut prosedur latihan dan pengujian yang telah ditetapkan oleh kerajaan adalah tidak sah.
Berdasarkan statistik, JPJ merekodkan sebanyak 187 kes aduan yang diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) bagi tahun 2018 hingga tahun lalu melibatkan lesen palsu. Manakala bagi Januari sehingga Jun 2021 merekodkan jumlah 40 kes aduan melibatkan isu pengiklanan lesen memandu secara tidak sah.
Bahagian Pelesenan Pemandu dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah menyelaras satu penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani isu-isu melibatkan jenayah siber di antara kedua-dua agensi terbabit.Penubuhan jawatankuasa khas ini bertujuan untuk mengenal pasti dan menentukan tindakan agensi dalam mencari jalan penyelesaian bagi membendung isu jenayah siber yang kian menular melalui media sosial.
Fungsi Jawatankuasa itu ditubuhkan adalah untuk menyalurkan maklumat kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Satu Jawatankuasa Khas Siasatan Dalaman (JKSD) di peringkat jabatan turut diwujudkan bagi menangani isu dan aktiviti pengeluaran lesen memandu yang dikeluarkan secara tidak sah.
Hasil siasatan mendapati kebanyakan laporan yang diterima adalah melibatkan kes penipuan yang mana di luar bidang kuasa JPJ dan perlu disalurkan untuk tindakan di peringkat Jawatankuasa Khas Menangani Isu Jenayah Siber antara JPJ dan PDRM.
Sumber: Sinar Harian