Lapan Keluarga Harungi Kehidupan 10 Tahun Tanpa Bekalan Elektrik | Gangguan bekalan elektrik semestinya amat sukar untuk kita hadapi kerana menyukarkan kita untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Namun, apa yang menimpa lapan keluarga di Gua Musang ini amat sedih apabila mereka terpaksa berdepan dengan situasi tiada bekalan elektrik sejak 10 tahun yang lalu.
Seorang suri rumah di Kampung Jelaping di sini terpaksa memanaskan seterika menggunakan api dapur gas bagi menggosok pakaian ahli keluarganya kerana rumah mereka tiada bekalan elektrik sejak 10 tahun lalu.
Imanoorshella Desa, 28, berkata, situasi itu bukan sahaja dialami oleh keluarganya, tetapi tujuh lagi rumah lain turut mengalami nasib sama meskipun beberapa kampung kawasan sekitar sudah lama menikmati kemudahan itu.
Katanya, masalah bekalan elektrik itu juga telah menyebabkan mereka tidak dapat membeli peralatan elektrik seperti televisyen, peti sejuk dan mesin basuh.
Jelasnya lagi, mereka hanya menggunakan bateri kenderaan untuk menghidupkan lampu pada waktu malam. Lampu yang dicas menggunakan bateri itu bertahan selama tiga jam sahaja jika diguna pada waktu malam.
“Bagi menggosok pakaian pula, saya terpaksa memanaskan seterika atas dapur gas sebelum menggosok pakaian sekolah anak,” katanya kepada pemberita di rumahnya semalam.
Suaminya, Muhammad Abd. Ghani, 49, yang bekerja sebagai penoreh getah pula berkata, kedudukan rumahnya berada di kawasan pedalaman selepas dia mengusahakan kawasan kebun di situ.
Katanya, ketika ini, dua anak perempuannya yang berada di peringkat prasekolah turut berdepan dengan masalah untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Anak-anak saya yang berusia 5 dan 6 tahun mempunyai masa yang terhad untuk mengikuti PdPR iaitu pada waktu pagi dan petang sahaja.
“Saya berharap ada pihak dapat membantu keluarga saya dan jiran lain untuk mendapatkan bekalan elektrik,” katanya.
Masalah yang dihadapi keluarga Imanoorshella, mendapat perhatian daripada Majlis Jaksa Pendamai Kelantan (MJPK) apabila mendapat kunjungan Ahli Jawatankuasanya, Che Ibrahim Che Ismail semalam.
Menurut Che Ibrahim, MJPK bersetuju untuk memasang sistem solar di rumah itu buat sementara waktu bagi memberi kemudahan anak mereka belajar dan pihaknya akan membantu masalah bekalan elektrik itu.
Sumber: Kosmo