BATU PAHAT – Seorang bekas mekanik sanggup berhenti kerja untuk menjaga bapa mentuanya di Kampung Semerah Darat, Parit Sulong, di sini, yang terlantar sakit akibat diserang angin ahmar sejak Oktober lalu.
Mohamad Shah Basir, 43, berkata, bapa mentuanya, Januri Sidek, 72, terkena strok selepas selesai menguruskan pengebumian isteri tercinta, Suzailah Januri yang meninggal dunia akibat penyakit kanser ovari.
“Sebaik hospital mengesahkan ibu sudah meninggal dunia, kami nampak ayah begitu sedih hinggakan semangatnya seperti hilang.
“Dalam keadaan sugul, ayah cuba memberikan bakti terakhir kepada ibu untuk sama-sama membantu mengebumikan jenazah sebelum dia diserang angin ahmar secara tiba-tiba,” katanya kepada Kosmo! di rumahnya di Parit Sulong di sini baru-baru ini.
Mohamad Shah berkata, kesihatan mentuanya itu semakin merosot selain hilang selera makan dan kurang berkomunikasi dengan ahli keluarga.
Menceritakan kembali kejadian menimpa warga emas itu, Shah berkata, sebaik jenazah arwah ibu mentuanya selesai dikebumikan, mereka kemudian pulang ke rumah dengan bapa mentuanya menaiki kereta seorang anak buahnya.
“Lebih kurang 10 minit selepas itu, ayah terdiam dan dilihat kaku di tempat duduk belakang.
“Kami kemudian bergegas ke hospital dan doktor memaklumkan bapa diserang angin ahmar pada sebelah badan,” katanya.
Menurut Shah, dia yang sebelum ini bekerja sebagai mekanik di sebuah kedai tayar terpaksa berhenti kerja bagi membantu isterinya menjaga bapa mentua yang memerlukan penjagaan rapi termasuk perlu mendukungnya ke bilik air.
“Kami cuma harapkan ihsan adik-beradik lain yang tinggal di sekitar sini untuk menghulurkan makanan atau wang ringgit demi membayar bil elektrik selain membeli keperluan lampin pakai buang ayah,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun bank Maybank 1513-600-23741 milik Mohamad Shah atau menghubunginya di talian 017-202 5030.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Tukang Kayu Hilang Pendapatan Lepas Isteri Kena Serangan Strok
Kehidupan seorang tukang rumah diuji apabila isteri yang menjadi tulang belakangnya selama ini diserang penyakit strok lebih sebulan lalu.
Mohd. Nasir Salleh, 53, berkata, serangan strok yang berlaku pada 17 September lalu membuatkan isterinya, Siti Normah Lebu, 45, kini terlantar di katil.
“Anggota badan kanannya lemah selain mulutnya herot. Masalah kesihatan itu memaksa isteri saya berhenti kerja sebagai pekerja am di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu.
“Saya yang bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM700 sebulan juga terpaksa mengambil cuti untuk menjaganya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Besar, Kuala Berang di sini baru-baru ini.
Di samping itu, Mohd. Nasir memberitahu, dia kini mengambil alih tanggungjawab menguruskan rumah tangga bersendirian.
Menurutnya, anak sulungnya, Muhammad Affirul Afandi, 23, merupakan orang kelainan upaya kategori lembam dan kerap diserang asma yang memerlukan pemerhatian khusus.
“Empat lagi anak saya yang berusia 11 hingga 20 tahun masih belajar termasuk seorang daripada mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi di Kuala Terengganu.
“Saya reda dengan ujian ini, tetapi ketiadaan pendapatan kerana tidak dapat keluar bekerja bagi menjaga isteri dan rumah tangga sejak lebih sebulan lalu amat merungsingkan saya,” katanya.
Selain itu, Mohd. Nasir berkata, masalah kewangan juga menyebabkan dia tidak mampu menyediakan kerusi roda dan alat bantu jalan selain terpaksa berjimat-cermat untuk membeli lampin pakai buang dan susu khas dengan menggunakan wang simpanan.
Tambahnya, ketiadaan kerusi roda dan alat bantu jalan menyebabkan dia terpaksa memapah isterinya dengan bantuan anak-anak untuk ke bilik air.
“Mujur ada pertubuhan bukan kerajaan yang sudi memberikan bantuan katil boleh laras. Anak sulung saya juga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menyumbang melalui akaun bank milik Mohd. Nasir bernombor 1150041000072929 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubunginya di talian 011-40298369.
Sumber: KMN