GEORGE TOWN – Kira-kira lapan lot kedai makan yang menjadi lokasi tumpuan pelanggan tempatan dan luar Pulau Pinang di Astaka Stadium Bandaraya di sini dilaporkan terbakar pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 7.25 pagi itu tidak melibatkan sebarang kecederaan mangsa mahupun kemalangan jiwa.

Difahamkam, kebakaran berlaku semasa premis makanan dan minuman termasuk kedai nasi campur di situ belum memulakan operasi perniagaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran berlaku pada pukul 7.30 pagi tadi dan kemudiannya bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian mendapati api dalam keadaan marak. Kebakaran hanya melibatkan lapan lot kedai makan dengan peratusan kemusnahan dianggarkan kira-kira 50 peratus.

“Tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu dan siasatan awal mendapati kemungkinan kebakaran berpunca daripada litar pintas,” katanya kepada pihak media di sini tadi.

Menurut beliau, punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pasukan Forensik Bomba termasuk nilai kerugian yang dialami mangsa.

Justeru katanya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.52 pagi dan operasi tersebut tamat 15 minit kemudian.

Sumber: Kosmo

 

Baca Juga: Butik Penyanyi Nasyid Terbakar, Rugi RM1 Juta

Penyanyi nasyid, Mohamad Fitri Mohamad Haris mendakwa kerugian kasar akibat kebakaran Butik Al Mukarramah yang diusahakan di premis berhampiran Wisma Jakel di Seksyen 7, Shah Alam, yang musnah dijilat api, dalam kejadian Ahad lalu, mencecah RM1 juta.

Butik Penyanyi Nasyid Terbakar, Rugi RM1 Juta

Butik yang diusahakan Mohamad Fitri yang juga bekas anggota kumpulan nasyid, UNIC sejak lima tahun itu, musnah hampir 80 peratus dengan banyak stok pakaian termasuk untuk jualan Ramadan dan Aidilfitri, musnah dijilat api.

Namun, di sebalik ujian menimpa, Mohamad Fitri reda, malah, tidak sedikitpun sedih dengan apa yang berlaku.

Mohamad Fitri tidak patah semangat untuk meneruskan perniagaan barangan Umrah dan Haji serta pakaian patuh syariah yang diusahakan atas titik peluhnya mencari modal selama ini.

“Buat masa ini, kami hentikan Butik Al Mukarramah berikutan semua barangan hangus terbakar.

“Stok pakaian untuk Ramadan dan Aidilfitri juga habis terbakar. Namun, kami akan teruskan jenama Al Mukarramah berikutan sudah lima tahun perniagaan itu bertapak.

“Bagaimanapun, kami masih belum putuskan sama ada buka kembali kedai secara fizikal di bangunan baharu atau teruskan perniagaan atas talian sahaja.

“Kami perlu ambil kira kos keseluruhan yang perlu dikeluarkan jika bercadang membuka butik baharu,” katanya kepada BH Online.

Dalam kejadian Ahad lalu, kebakaran disyaki bermula dalam gedung tekstil terkemuka, Jakel Mall yang terletak berdekatan butik milik Mohamad Fitri, hingga merebak ke premis lain.

Kelmarin, gedung sama dilaporkan terbakar sekali lagi dalam kejadian pada awal pagi.

Kebakaran di bangunan Wisma Jakel itu dilapor membabitkan bilik simpanan kain langsir berkeluasan 2.78 meter persegi di tingkat tiga.

Mohamad Fitri berkata, perniagaan butik diteruskan apatah lagi umat Islam akan menyambut Ramadan dan Aidilfitri, tidak lama lagi.

“Perniagaan diteruskan kerana jualan pada Ramadan dan Aidilfitri sangat memberangsangkan berbanding bulan lain.

“Namun, kami tidak pasti sama ada sempat untuk membuat persiapan seperti menyediakan stok baharu berikutan hanya ada masa lebih dua bulan sahaja lagi,” katanya.

Mengimbau insiden kebakaran pada pagi tahun baharu, Mohamad Fitri menyedarinya selepas membaca laporan berita.

Pada hari itu, dia mahu mengadakan jualan penghabisan stok dengan semua persiapan sudah diatur termasuk poster dan stok barangan.

Mohamad Fitri bersyukur sebuah lagi premis yang menempatkan stok pakaian tidak terjejas dalam insiden malang itu.

Tambahnya, premis terbabit menempatkan stok untuk jualan atas talian. Namun, ada juga barangan yang sudah ditempah pelanggan musnah dalam kebakaran itu.

Mohamad Fitri berjanji akan memulangkan wang pelanggan yang membuat tempahan dan membuat bayaran.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply