Kehilangan seorang lelaki menimbulkan misteri buat isteri dan empat anak mereka apabila dia gagal dikesan selepas keluar daripada rumah bapanya di Kampung Jalan Baru, Kilang Bata dekat sini sejak tiga bulan lalu.
Mohd Azhar Che Mansor, 36, keluar rumah dengan menunggang motosikal SYM merah serta hitam milik bapanya tanpa membawa sebarang dokumen dan telefon bimbit pada 16 Mei lalu.
Kehilangan lelaki terbabit disedari ahli keluarga selepas hampir sebulan dia keluar rumah sebelum bapanya membuat laporan polis pada 7 Jun lalu.
Isterinya, Nurul Hidayah Saad, 36 berkata, mereka sekeluarga tinggal di Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena.
Kali terakhir dia bertemu suaminya yang mendakwa mahu ke rumah keluarganya di Gurun.
Menurutnya, suaminya sebelum itu menyatakan hasrat mahu mengikut adik lelakinya bekerja di Johor selepas hari raya.
Malah, dia turut bersetuju dengan hasrat suaminya selepas mereka berbincang.
Katanya, dia dan suaminya sebelum ini mencari rezeki dengan mengambil tempahan melakukan dekorasi hiasan dalaman namun kurang mendapat sambutan sejak pandemik melanda.
Untuk menambah pendapatan, suaminya memberitahu dia mahu melakukan kerja luar dengan mengikut adik iparnya yang ketika itu pulang bercuti menyambut Aidilfitri.
Suaminya kemudian memberitahu mahu ke rumah keluarganya di Gurun untuk bertemu dengan adik ipar bagi berbincang mengenai kerja.
Seterusnya, mereka akan bertolak ke Johor beberapa hari selepas itu.
Katanya, dia memberikan suaminya RM500 untuk dijadikan sebagai modal dan belanja.
Namun, terkejut apabila adik ipar menghubungi bertanyakan sama ada abangnya berada di rumah beberapa minggu selepas itu.
Mendengarkan pertanyaan adik ipar itu dia mula pelik kerana selama ini menyangka suaminya berada di rumah keluarganya dan sudah bertolak ke Johor untuk mencari kerja.
Selepas itu baru mereka menyedari yang suaminya itu tiada di kedua-dua rumah sebelum bapa mentuanya membuat laporan polis.
Selepas tiga bulan kehilangannya, suaminya masih gagal dikesan.
Malah, pelbagai usaha dilakukan termasuk kaedah perubatan Islam namun tiada sebarang petunjuk ditemui.
Tiada masalah atau sebarang pergaduhan antara mereka yang mungkin menjadi punca kehilangan suami.
Malah, itu yang membuatkan isterinya dan ahli keluarga yang lain pelik dengan kehilangan lelaki itu.
Kehilangan suaminya sejak tiga bulan lalu itu turut meninggalkan kesan buat anak bongsu mereka.
Dia satu-satunya anak lelaki tunggal berusia enam tahun yang terlalu merindui bapanya.
Anak bongsu daripada empat beradik ini paling rapat dengan bapanya malah hampir setiap hari akan bertanyakan mengenai bapanya itu.
Nurul Hidayah amat berharap suaminya dapat ditemui dalam keadaan selamat dan pulang segera kerana mereka sekeluarga amat merinduinya.
Menurutnya, dia berharap sesiapa yang menemui suaminya supaya menghubungi talian 01110728937.
Sumber: Harian Metro