Suami Isteri Ditahan Kerana Lakukan Eksploitasi Terhadap Anak Yatim | Kanak-kanak merupakan aset negara yang sangat penting kerana kepada merekalah segala harapan dan cita-cita negara disandarkan selaku pemimpin di masa hadapan. Kanak-kanak juga adalah golongan yang perlu diberi perlindungan kerana di dalam keadaan-keadaan tertentu, mereka mungkin terdedah kepada pelbagai bahaya sama ada mereka menjadi mangsa atau terlibat dengan perlakuan jenayah.

Suami Isteri Ditahan Kerana Lakukan Eksploitasi Terhadap Anak Yatim

Kuala Lumpur: Polis telah menahan pasangan suami isteri dan menyelamatkan lima kanak-kanak serta remaja yang juga merupakan anak yatim yang menjadi mangsa eksploitasi tenaga buruh dalam serbuan di Taman Bukit Seputeh, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 18 tahun pada jam 4.10 petang, semalam. Dalam pada itu, siasatan awal mendapati pengadu bersama 16 kanak-kanak dan remaja dari sebuah rumah anak yatim di Kulim, Kedah dibawa oleh dua suspek ke sebuah rumah di Seputeh untuk melakukan kerja rumah sepanjang hari pada 2017.

“Seramai 14 daripada 16 kanak-kanak dan remaja terbabit melarikan diri disebabkan tidak tahan melakukan kerja rumah secara paksa dan dipukul jika tidak mengikut arahan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, pengadu berjaya melarikan diri dari rumah itu kira-kira 10 pagi semalam, dan datang ke balai polis untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Susulan itu, kami menahan suami isteri membabitkan seorang lelaki berusia 55 tahun dan seorang wanita berusia 54 tahun dan berjaya menyelamatkan lima kanak-kanak serta remaja berusia antara lapan hingga 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang,” katanya.

Sementara itu, kedua-dua suspek akan dibawa ke Majistret Kuala Lumpur bagi permohonan reman, hari ini, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 atas kesalahan pemerdagangan kanak-kanak.

Beliau mengingatkan mana-mana badan kebajikan, individu atau pertubuhan supaya tidak melakukan eksploitasi terhadap kanak-kanak dalam apa jua cara sekalipun terutama menjalankan aktiviti jenayah yang boleh menjejaskan hak asasi kanak-kanak.

“Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber: Harian Metro

 

Share.

Leave A Reply