Suami Isteri Tunggang Motosikal Ke Mekah Mengerjakan Umrah | Setiap individu pastinya mempunyai keinginan untuk mengerjakan umrah. Hal ni yang berlaku terhadap pasangan suami isteri dari Jember, Jakarta Timur apabila mereka bertekad untuk mengerjakan umrah dengan menaiki motosikal.
Amir Faisol,57, dan isterinya, Mintasih Suryawati memulakan perjalanan mereka ke Mekah yang dijangka mengaambil masa selama enam bulan itu pada 13 April lalu. Mereka dikatakan ingin ke Mekah kerana terlalu rindu untuk menunaikan ibadat umrah di tanah suci itu, lapor Suara.com, semalam.
Menurut Amir, dia dikatakan ingin melakukan kembara ke Mekah itu sendirian tetapi apabila niatnya itu diketahui oleh isterinya, Mintasih merayu mahu turut serta ke Mekah bersama suaminya.
Mereka dikatakan pergi ke Mekah dengan tidak membawa barangan yang banyak. Justeru itu, mereka hanya membawa keperluan penting dan yang ingin digunakan sahaja dalam perjalanan ini.
“Keluarga juga menyokong niat kami kerana ia dilakukan dengan tujuan baik walaupun kelihatan sukar dilaksanakan,” katanya.
Pasangan suami isteri yang menaiki motosikal jenis Honda 150 dan Yamaha Vega itu turut merakam detik pengembaraan dan perjalanan mereka lalu memuat naik klip video tersebut di akaun Youtube milik Amir Brandal.
Dalam pada itu, pasangan sumai isteri itu turut meminta orang ramai berdoa supaya perjalanan mereka ke Mekah dipermudahkan dan impian mereka untuk menunaikan umrah tercapai dengan sempurna.
Perjalanan dari Indonesia ke Arab Saudi dianggarkan sekitar 9,000 kilometer dan perlu melalui beberapa buah negara seperti Malaysia, Thailand, Myanmar, India, Pakistan,Oman dan Emiriyah Arab Bersatu.
Pada tahun 2018, seorang lelaki warga Indonesia telah mengambil masa selama setahun dengan berjalan kaki dari Jawa Tengah ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji.
Sumber: Kosmo