Suami Sakit Kronik, Isteri Positif Covid-19 Ditemui Mati Di Ruang Tamu | Covid-19 bukanlah suatu penyakit yang boleh dijangka atau diramal. Penyakit seperti ini amatlah berbahaya dah boleh membawa kepada maut. Justeru itu, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Suami Sakit Kronik, Isteri Positif Covid-19 Ditemui Mati Di Ruang Tamu

Pasir Gudang: Pasangan suami isteri warga emas ditemui meninggal dunia di ruang tamu kediaman mereka di Taman Kota Masai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata wanita yang berusia 61 tahun itu disahkan positif Covid-19 manakala suaminya yang berusia yang 68 tahun pula dipercayai mengalami beberapa komplikasi kesihatan. Menurut beliau, kaunter aduan Balai Polis Scientex di sini, telah menerima maklumat kematian pasangan berkenaan pada jam 1 tengah hari.

Katanya, pasangan itu tidak mempunyai anak kandung dan mayat mereka telah ditemui oleh anak angkat yang berusia 19 tahun selepas pergi ke rumah berkenaan untuk melawat ibu bapa angkatnya kerana panggilan telefon mereka tidak berjawab.

Mohd Sohaimi berkata, kedua-dua mayat berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk proses bedah siasat. Dalam pada itu, hasil siasatan mendapati kedua-dua pasangan itu dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 48 jam.

“Si suami dipercayai mempunyai penyakit kronik termasuk sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis, kematiannya berpunca daripada sejarah penyakit yang dihidapinya itu.

“Isterinya pula mengidap penyakit darah tinggi dan kencing manis, turut disahkan positif Covid-19 hasil ujian saringan dijalankan selepas kematiannya.

“Siasatan mendapati tiada unsur-unsur jenayah menyebabkan kematian pasangan itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Esah, 40-an ketika ditemui hari ini memaklumkan dia diberitahu oleh anak angkat pasangan itu bahawa suami isteri terbabit sudah meninggal dunia.

“Anak angkat jiran saya nangis teresak-esak menyatakan kedua-dua ibu bapa angkatnya sudah tiada.

“Kali terakhir saya bertemu dengan pasangan itu pada minggu lalu dan beberapa hari lalu (saya) ada terserempak dengan anak angkatnya itu dan menyapanya serta bertanya khabar ibu bapa angkatnya.

“Mereka pernah beritahu ada sakit kencing manis dan darah tinggi dan hanya jiran perempuan yang sering keluar rumah untuk membeli barang dapur, manakala suaminya hanya di rumah.

“Wanita berkenaan dikenali sebagai Mak Besah memang dikenali ramai kerana pandai berubat dan suaminya dikenali sebagai Pak Bakar.

“Namun sejak minggu lalu memang tidak kelihatan mereka keluar dan saya menjangkakan pasangan itu tidak mahu keluar rumah kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply