Warga Emas Sempat Telefon Anak Minta Tolong Sebelum Ditemukan Rentung Dalam Kebakaran | Duka akibat kehilangan boleh dikaitkan dengan pelbagai situasi seperti kehilangan seseorang apatah lagi apabila kehilangan ahli keluarga ataupun rakan terdekat. Kehilangan seseorang memang bukanlah hal yang mudah untuk diterima begitu saja.
Kuala Terengganu: Seorang anak pasti tidak akan melupakan panggilan terakhir dengan ibunya yang meminta pertolongan sebelum wanita warga emas berkenaan ditemui rentung di dalam rumah yang musnah akibat terbakar di Kampung Losong Haji Su di sini semalam.
Zailah Jusoh, 47, berkata, dia mendengar jeritan ibunya, Fatimah Mohd., 79, meminta pertolongan dengan menyebut ‘tolong’ sebanyak enam kali sebelum talian panggilan telefon pada pukul 10.37 pagi itu terputus.
“Sebaik saya jawab panggilan itu, ibu menjerit tolong sebelum talian terputus tanpa sempat saya mengetahui apa yang terjadi. Mulanya ingatkan ayah (Jusoh Muda, 82) sakit atau pengsan.
“Risau dengan keadaan ibu dan ayah yang tinggal berdua, saya dan suami ke rumah keluarga dari kediaman kami di Kampung Kubang Tangga,” katanya ketika ditemui pihak Kosmo! di lokasi kejadian di Kampung Losong Haji Su di sini semalam.
Dalam kebakaran yang memusnahkan 100 peratus rumah diperbuat daripada kayu itu, Jusoh melecur kira-kira 30 peratus pada bahagian kaki dan badan.
Zailah yang merupakan anak kelapan daripada 11 beradik berkata, luluh hatinya sebaik tiba dan mendapati rumah keluarganya sedang marak terbakar, manakala bapanya pula melecur teruk akibat kebakaran itu.
Beliau berkata, tambah membuatnya fikirannya berkecamuk apabila dimaklumkan ibunya yang mengalami kepayahan berjalan akibat uzur terperangkap di dalam rumah tersebut.
Katanya, dia dimaklumkan bahawa ayahnya cuba memapah ibu keluar rumah untuk menyelamatkan diri tetapi tidak berdaya atas faktor usia. Tambahnya, badan ayahnya turut melecur akibat disambar api sebelum diselamatkan oleh penduduk kampung di bahagian tangga dan kemudiannya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk menerima rawatan.