Seorang lelaki dilaporkan tergamak mengugut cerai dan menghalau isterinya dari rumah hanya kerana wanita itu tidak mengundi parti yang sama dengannya dalam pilihan raya.
Kejadian aneh yang berlaku di Uttar Pradesh, India itu turut mendapat perhatian Suruhanjaya Kebangsaan Wanita (NCW) negara itu.
Memetik laporan India.com, NCW meminta polis negeri mendaftarkan First Information Research (FIR).
Pihak itu juga memohon polis mengambil tindakan tegas terhadap lelaki itu kerana didakwa memukul isteri dan menghalaunya dari rumah.
Bagaimanapun, pihak polis berkata wanita berusia 21 tahun itu masih belum membuat aduan rasmi terhadap suaminya.
Menurut laporan, wanita itu terpaksa meninggalkan rumah suaminya di kawasan Baradari di Bareilly pada 11 Mac lalu.
Ia berlaku selepas dia memberitahu seorang saudara bahawa dia gembira calon diundinya telah memenangi pilihan raya.
Wanita itu juga berkata parti yang diundinya telah membawa undang-undang kukuh untuk memperbaiki keadaan wanita Islam di India.
Selepas dipukul oleh suaminya, dia kemudian meminta bantuan daripada NCW yang membangkitkan isu itu di media dan memaklumkan kepada polis.
Pengerusi NCW, Rekha Sharma dilaporkan telah menulis surat kepada ketua pengarah polis (DGP) untuk mengambil tindakan tegas terhadap suami wanita itu dan mentuanya.
Difahamkan, pasangan itu melangsungkan perkahwinan pada 2012 dan kedua-dua keluarga itu adalah jiran.
“Wanita itu masih belum menghubungi polis dengan aduan bertulis. Kami akan mengambil tindakan jika ada aduan dibuat oleh mangsa.
“Jika dia mahu suaminya dikenakan tindakan, kami akan mendaftarkan FIR.
“Jika dia mahu kami menjadi pengantara dan menyelesaikan pertikaian perkahwinan, kami akan memindahkan kes itu ke sel pengantaraan untuk memastikan perkahwinan mereka tidak terjejas,” kata polis.
Kejadian yang hampir sama juga pernah berlaku di Amerika Syarikat pada tahun 2017 apabila seorang wanita meninggalkan suaminya selepas mengetahui lelaki itu mengundi Donald Trump.
Walaupun usia perkahwinan mereka pada ketika itu sudah 22 tahun tetapi wanita tersebut tetap ingin bercerai dengan suaminya kerana rasa ‘dikhianati’, lapor Insider.
Sumber : SK