Suspek Kes Bunuh Wanita Malaysia Ditahan | Polis Britain telah menahan seorang suspek kerana disyaki terlibat dengan kes pembunuhan wanita asal Malaysia yang ditemui mati tanpa kepala di pinggir bandar Devon, akhir bulan lepas, lapor akhbar The Sun semalam.
Suspek yang berusia 36 tahun dari Kilburn, London Utara kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan lanjut bagi kes pembunuhan Mee Kuen Chong, 67.
Menurut polis, bedah siasat telah dilakukan sebelum ini, namun gagal menemui penyebab jelas kepada punca kematian wanita yang menetap di Wembley itu.
Ketua Detektif, Jim Eastwood berkata, buat masa ini pihaknya sedang menyiasat segala kemungkinan yang berkaitan dengan kematian Kuen Chong terutamanya pergerakan mangsa sebelum kejadian.
Beliau juga meminta mana-mana individu yang ada melihat mangsa antara 19 Jun hingga 27 Jun lepas sama ada di London atau Devon, yang masih belum memberi maklumat kepada polis untuk tampil memberikan maklumat.
Jelasnya, sangat penting untuk polis mendapatkan maklumat penuh mengenai pergerakan Kuen Chong dalam tempoh masa tersebut kerana ia akan membantu pihaknya memahami apa sebenarnya yang terjadi kepadanya.
Mayat Kuen Chong sebelum ini ditemukan dalam keadaan tanpa kepala di sebuah kawasan hutan berhampiran sebuah resort popular di Devon dua minggu selepas dia dilaporkan hilang.
Pada awalnya, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai ‘tidak dapat dijelaskan’ tetapi polis semalam mengesahkan mereka melancarkan siasatan bagi kes pembunuhan.
Kuen Chong yang berasal dari Malaysia telah menetap di London selama lebih 30 tahun.
Sumber: Kosmo